Skip to main content

Lebih 1,000 anak kapal terkandas sejak PKP dibenar pulang

Ka Siong mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat JLM di Klang hari ini.

PUTRAJAYA - Lebih 1,000 anak kapal rakyat tempatan dan asing yang terkandas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu telah dibenarkan turun dari kapal secara berperingkat.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam kenyataannya berkata, Jabatan Laut Malaysia (JLM) telah mengeluarkan Notis Perkapalan Malaysia agar anak-anak kapal yang terkandas dibenarkan turun kapal (sign-off) secara berperingkat dan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

"Mereka tidak dapat pulang ke kediaman masing-masing walaupun tempoh kontrak kerja mereka telah tamat dan demi menjaga kebajikan serta kesihatan mental anak-anak kapal tersebut, notis itu dikeluarkan," katanya.

Menurutnya, Malaysia akan membenarkan pertukaran anak kapal warganegara asing secara sepenuhnya iaitu sign-on dan sign-off.

"SOP bagi membolehkan sign-on anak-anak kapal warganegara asing kini sedang dalam kerjasama pelbagai agensi yang berkaitan termasuk JLM.

"Setelah ianya diperkemaskan, JLM akan mengeluarkan satu notis khusus mengenainya," katanya.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat JLM di Klang dan mendengar taklimat daripada Ketua Pengarah JLM Datuk Baharin Abdul Hamid bersama Timbalan Ketua Pengarah 1 Perancangan, Datuk Hazman Hussein dan kepimpinan tertinggi.

Menyentuh mengenai aspek pembukaan perkhidmatan Institut Latihan Maritim, SOP yang ketat telah dikeluarkan oleh JLM pada 15 Jun 2020.

"Mana-mana institut yang mematuhi SOP tersebut dibenarkan untuk membuka sepenuhnya kursus pelaut secara fizikal dan bersemuka," katanya.

Katanya, biarpun terkesan dengan penularan pandemik koronavirus (Covid-19), JLM akan terus bergerak ke hadapan seterusnya mencapai visi iaitu menjadi Peneraju Sistem Pengangkutan Maritim bersandarkan kepada moto Safer Ships, Secure Ports, Cleaner Seas.