Skip to main content

Lari tinggalkan makanan ikan seludup

BATALION 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas makanan ikan air tawar yang diseludup dari negara jiran dalam pemeriksaan di pangkalan haram Hassan Merah di Rantau Panjang hari ini.

Sebanyak 151 botol makanan ikan bernilai RM4,530 dirampas pada 12.45 tengah hari.

Pegawai Pemerintah PGA7 Superintendan Azhari Nusi berkata, anggotanya sedang menjalankan tugas rondaan bermotosikal sebelum terserempak dengan seorang lelaki memikul bungkusan warna hitam sedang menaiki tebing sungai.

Menurutnya, lelaki terbabit bertindak melarikan diri dan meninggalkan bungkusan itu selepas menyedari kehadiran anggota PGA.

Katanya, selepas menunggu beberapa minit anggota bertugas mengambil bungkusan ke Pos Ibrahim Pencen untuk siasatan lanjut.

"Hasil pemeriksaan pada bungkusan itu, terdapat pelbagai jenis makanan ikan air tawar bertulis UHT Water Flea sebanyak 78 botol dan UHT Artemia 37 botol selain UHT Black Mosquito Larvae sebanyak 36 botol.

"Siasatan mendapati, kesemua makanan ikan air tawar terbabit diseludup dari negara jiran untuk pasaran tempatan dengan harga RM30 sebotol.

"Laporan polis dibuat berkaitan kes ini manakala kesemua barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk tindakan lanjut," katanya.

Azhari berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta MAQIS 2011, jika sabit kesalahan mereka yang terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tempoh enam tahun atau kedua-duanya sekali.

"PGA7 kini menjalankan Ops Benteng Covid bagi menyekat kes penyeludupan serta memperkukuhkan kawalan sempadan negara termasuk mengekang penularan pandemik COVID-19.

"Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan atau bersekongkol dengan aktiviti penyeludupan bagi menjamin keselamatan negara," katanya.