Skip to main content

Koepka, Simpson tarik diri angkara Covid-19

JUARA major empat kali, Brooks Koepka dan bekas pemenang Terbuka Amerika Syarikat (AS), Webb Simpson serta Graeme McDowell antara enam pemain yang tidak beraksi di Kejohanan Travelers PGA AS selepas tiga ujian didapati positif Covid-19.

Pesuruhjaya PGA AS, Jay Monahan mengetatkan protokol kesihatan dan keselamatan susulan pemain Amerika Syarikat (AS) Cameron Champ, kadi McDowell -- KenComboy dan kadi Koepka -- Ricky Elliott diuji positif virus itu.

"Saya belum diuji positif Covid-19 tetapi seperti saya katakan, saya memandang serius perkara ini," kata Koepka. "Saya enggan melakukan sesuatu yang boleh membahayakan kesihatan pemain lain."

Koepka yang menduduki ranking keempat dunia kini memburu gelaran ketiga berturut-turut Kejohanan PGA pada Ogos depan.

"Tindakan paling betul sekarang ialah pulang ke rumah, bantu Ricky dan yakin dengan cara saya untuk melindungi rakan jelajah," kata Koepka.

Pemain AS, Cameron Champ, Nick Watney dan Chase Koepka antara pemain yang terlepas aksi bermula esok di TPC River Highlands di Cromwell, Connecticut.

Watney diuji positif minggu lalu di South Carolina. Champ positif kelmarin. Comboy dan Elliott pula diuji positif selepas Koepka manakala adiknya, Chase dan pemain Ireland Utara, McDowell berlatih bersama kelmarin.

"Saya mengalami keletihan dan bengkak otot," kata pemenang Terbuka AS 2010, McDowell. "Pada mulanya saya tak fikir ia ada kaitan dengan Covid tetapi sekarang Kenny diuji positif, jadi saya tak boleh ambil mudah gejala penyakit itu. Saya enggan tanggung risiko dengan menjangkiti orang lain minggu ini."