Skip to main content

Ketepi perbezaan politik perangi Covid-19

Muhyiddin menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 melalui persidangan video di Bangunan Perdana Putra hari ini. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Ahli Parlimen ASEAN mengetepikan perbezaan politik mereka dan bertindak secara bersepadu dalam memerangi pandemik Covid-19.

Berucap pada sesi Pemimpin ASEAN dengan Wakil Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA), beliau berkata, ahli Parlimen perlu memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat.

"Ahli Parlimen bertanggungjawab untuk memastikan semua langkah yang diambil berhasil dalam meningkatkan perlindungan dan sokongan terhadap golongan yang paling terkesan.

"Juga penting bagi ahli Parlimen meningkatkan kesedaran mengenai Covid-19 di kawasan masing-masing dengan menggalakkan penduduk mengutamakan kebersihan diri serta mengamalkan normal baharu seperti memakai pelitup separuh muka dan menjaga jarak sosial di tempat awam," katanya.

Sesi itu diadakan sebagai sebahagian daripada program pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 yang berlangsung secara maya hari ini, dihoskan Pengerusi ASEAN 2020, Vietnam.

Sesi dengan Pemimpin ASEAN itu disertai wakil AIPA daripada 10 negara anggota ASEAN, dengan Malaysia diwakili Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Muhyiddin, yang mengetuai delegasi Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-36 itu, menyertai sesi itu melalui persidangan video dari Putrajaya.

Perdana Menteri berkata, walaupun berdepan tugas sukar dalam menangani aspek kos kesihatan dan sosioekonomi bagi Covid-19, negara anggota ASEAN telah secara sendirian atau bersama berusaha membendung penularan virus berbahaya itu dengan berkongsi maklumat semasa, kepakaran teknikal, amalan terbaik serta laporan risiko dan analisis data.

"Negara anggota ASEAN juga saling bekerjasama dalam mengurangkan impak pandemik itu terhadap kehidupan rakyat. Sepanjang tempoh tidak menentu itu, orang ramai sering mendapatkan bantuan daripada wakil rakyat mereka," katanya.

Muhyiddin berharap ahli Parlimen ASEAN dan AIPA akan dapat memainkan peranan lebih proaktif dalam libat urus dan menyebar luas kepentingan ASEAN dan rakan dialognya di kawasan diwakili masing-masing untuk memastikan mereka faham akan impak positif bekerja sebagai blok serantau.

"Cara ASEAN memang berhasil dan kejayaan 10 negara anggota kita akan memberi impak besar terhadap rakyat kita. Beban itu di bahu kita, tetapi saya yakin dengan kepercayaan dan keikhlasan bersama, kita akan muncul sebagai pasukan kuat dalam era pasca pandemik," katanya.

Muhyiddin juga menggesa ahli Parlimen menjadi kuasa dalam menonjolkan keperluan untuk memperluas rayuan bagi pewujudan 'identiti ASEAN' daripada asas berikutan tahun 2020 telah dipilih sebagai 'Tahun Identiti ASEAN' untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang aktiviti dan proses pembangunan rantau itu.

"Ya, ASEAN telah berusaha keras selama ini dalam memastikan identitinya lebih menonjol. Bagaimanapun, penanda aras bagi identiti kita sebelum ini lebih bersifat keinstitusian dan terbatas pada aspek birokrasi mempunyai bendera ASEAN, misalnya berbanding mendampingi orang ramai, sfera popular," katanya.

Muhyiddin memberitahu ahli Parlimen bahawa penduduk di kawasan diwakili mereka perlu faham bahawa ASEAN sedang melakukan yang terbaik untuk menggiatkan semula ekonomi serantau menerusi program 'Green Travel Bubbles' dan pelancongan antara ASEAN yang berpotensi dilaksanakan.

ASEAN mempunyai populasi lebih 650 juta orang dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal kira-kira AS$3.3 trilion, dengan lebih AS$3.4 trilion dalam perdagangan yang transit melalui rantau itu setiap tahun.

Beliau berkata sebagai blok serantau, impak ASEAN terhadap ekonomi dan perdagangan global tidak boleh diabaikan.

"Seperti dicadangkan oleh Malaysia sebelum ini pada April, kita amat memerlukan Pelan Pemulihan Ekonomi Serantau dan ini yang kami fokus dalam Sidang Kemuncak ASEAN pada pagi ini," katanya.

AIPA, yang pada asalnya ditubuhkan pada 1977 sebagai Pertubuhan Antara Parlimen ASEAN (AIPO), bertujuan menggalakkan persefahaman, kerjasama dan hubungan rapat antara ahli Parlimen serta sebagai pemerhati ahli Parlimen dan pertubuhan Parlimen yang lain.

Ia turut memainkan peranan penting dalam memberi kefahaman kepada rakyat di Asia Tenggara mengenai dasar-dasar yang bertujuan mempercepat pewujudan Komuniti ASEAN pada 2015.

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-36 dijadual diadakan pada April di Da Nang, Vietnam tetapi ditangguhkan disebabkan pandemik Covid-19. - Bernama