Skip to main content

Kesetiaan kepada institusi diraja tonggak kedaulatan negara

KUALA LUMPUR - Lebih 600 tahun dahulu, taat dan setia kepada Raja terbukti menjadi asas yang membantu membina empayar Kesultanan Melayu Melaka yang memerintah sehingga menjadikan Melaka berkembang maju dan dipandang tinggi di seantero dunia.

Kesultanan itu yang bermula pada awal abad ke-15 dengan Parameswara, pengasas dan pemerintah pertama Melaka yang kemudian memeluk agama Islam dan menggunakan gelaran Sultan Iskandar Shah pada 1414, mentadbir negeri itu sehingga menjadi pelabuhan dan pusat perdagangan antarabangsa.

Kegemilangan empayar Melaka yang merupakan kerajaan berdaulat pertama di Tanah Melayu, terbina hasil kerjasama erat antara pemerintah dan rakyat yang hidup dalam penyatuan.

Menelusuri konteks institusi diraja di Malaysia hari ini yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum, raja dan rakyat juga ibarat berpisah tiada.

Berikutan Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, prinsip kedua dalam Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara telah membantu menjadikan Malaysia terus maju dan sebuah negara berdaulat.

Mengambil kira kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk, Pakar Sejarah dan Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Ramlah Adam menyifatkan peranan raja dalam konteks Malaysia hari ini adalah memperkukuh perpaduan rakyat walaupun terdapat perbezaan dari aspek agama, kaum serta fahaman politik.

"Rukun Negara meletakkan unsur Kesetiaan kepada raja dan negara untuk dipertahankan sebab ia adalah panduan hidup rakyat Malaysia untuk mendukung perlembagaan negara.

"Kita mesti faham perlembagaan yang ada pada masa kini mencatat peranan raja sebagai ketua negara, ketua negeri dan ketua agama Islam ...semua perkara itu kita bawa sebagai warisan daripada zaman dahulu lagi sebelum datangnya kuasa (penjajahan) barat dan sehingga hari ini," katanya kepada Bernama bersempena sambutan ulang tahun ke-50 Rukun Negara bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan 2020 yang dijadual pada 9 Julai depan.

Menurut beliau, kedudukan raja di peringkat kerajaan Malaysia juga adalah jelas dan undang-undang tubuh negeri turut menzahirkan dengan terperinci peranan dan kedudukan Raja-Raja Melayu.

Umpama aur dengan tebing, konsep Raja Berperlembagaan itu bersesuaian dengan kedudukan institusi diraja dalam memastikan hubungan antara raja dan rakyat dapat diperkukuhkan.

Justeru, bagi memastikan kedudukan institusi diraja terus terpelihara, Ramlah berpendapat pendidikan terhadap institusi diraja perlu diterapkan di semua peringkat pendidikan sehingga ke universiti.

"Ini perlu dijadikan subjek wajib di peringkat universiti bagi memastikan pemahaman tentang peranan Rukun Negara dapat diterapkan secara lebih menyeluruh bagi memastikan semangat cinta kepada negara serta menghormati institusi diraja terus disemai terutama dalam kalangan generasi muda," katanya.

Selain itu, beliau berharap ketegasan dalam pelaksanaan undang-undang dalam melindungi institusi diraja tidak disalahertikan oleh segelintir pihak sehingga boleh menjejaskan keharmonian negara ini.

Mengambil contoh kepimpinan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, beliau berkata, Seri Paduka menggunakan kebijaksanaan dalam menyelesaikan krisis pucuk pimpinan negara pada awal tahun ini dengan mengekalkan keamanan negara serta memperkukuh perpaduan rakyat.

"Negara kekal aman dan utuh sehingga kini kerana rakyat Malaysia memikirkan kepentingan negara bukan kepentingan kaum atau politik," katanya sambil menyatakan keyakinan masa depan institusi diraja akan kekal relevan dan terpelihara di negara ini.

Turut bersetuju dengan pendapat Ramlah ialah Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni yang menyifatkan rakyat Malaysia khususnya umat Islam seharusnya melihat konteks Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara sebagai tunjang untuk keamanan dan keharmonian masyarakat di negara ini.

Menurutnya, rakyat Malaysia perlu mencurahkan taat setia kepada raja di peringkat Persekutuan atau negeri iaitu selari dengan tuntutan agama Islam.

"Saya merujuk kepada firman ALLAH SWT iaitu terdapat tiga komponen yang perlu patuhi, mentaati ALLAH SWT, segala perintah ALLAH SWT perlu dijunjung dan disanjung serta segala larangan-Nya perlu dijauhi. Kedua, taat kepada Rasul dan ketiga taat kepada Ulil Amri iaitu pemimpin. Dalam konteks negara Malaysia Ulil Amri adalah pemerintah termasuklah raja sebagai pemerintah.

"Yang di-Pertuan Agong juga ketua agama bagi negeri-negeri yang tiada sultan seperti Melaka, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak. Peranan penting baginda dalam sumpah taat setia kepada negara apabila dilantik sebagai Agong adalah mempertahankan agama Islam," katanya.

Ehsan berkata, persepsi segelintir pihak menganggap institusi diraja hanya satu simbolik dan untuk ritual keagamaan perlu diperbetulkan kerana Islam adalah agama syumul iaitu merangkumi segenap aspek kehidupan manusia yang tidak hanya terhad kepada akidah, ibadah dan akhlak, tetapi merangkumi muamalat.

Selain mempertahankan agama Islam, beliau berkata Yang di-Pertuan Agong berperanan memastikan hak istimewa orang Melayu dan hak kaum bumiputera terbela, sekali gus keharmonian dalam kalangan rakyat dapat terus dimantapkan.

Jelasnya, umat Islam perlu meletakkan ketaatan kepada pemerintah selagi tiada kecenderungan kepada kemaksiatan, apatah lagi status Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama dan ketua negara.

"Peranan Agong atau raja memastikan agama Islam itu terjamin dan di samping itu, agama-agama lain boleh diamalkan di negara ini dengan aman dan penuh keharmonian," katanya. - Bernama