Skip to main content

Kereta mungkin milik anggota tentera

IDENTITI pasangan yang ditemui meninggal dunia selepas terperangkap dalam Proton Saga di Sungai Lana Bulu, Megat Dewa, Kodiang malam tadi, masih belum dikenal pasti.

Ia berikutan keadaan mayat yang hampir reput dan bercampur lumpur hingga menyukarkan pengecaman dibuat waris mangsa.

Namun rakan rapat seorang daripada pasangan itu mendakwa nombor pendaftaran kereta adalah milik lelaki yang bertugas sebagai anggota tentera di Jitra.

Lelaki itu didakwa hilang bersama rakan wanitanya sejak seminggu lalu.

Bapa angkat mangsa lelaki, Fazil Abu, 52, juga mengakui kereta itu milik anak angkatnya berusia 31 tahun kerana sering melihat dia memandunya.

Katanya, keluarga anak angkatnya itu yang berasal dari Perlis juga sudah membuat laporan polis berhubung kehilangannya sebelum ini.

"Walaupun kereta di dalam sungai itu miliknya tetapi saya bimbang ia dipinjamkan kepada kenalan atau rakannya.

"Bagaimanapun jika benar dia pun (mangsa), kami reda dengan apa yang berlaku," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, hari ini.

Fazil berkata, dia hanya mengetahui penemuan kereta itu melalui Facebook selepas dihubungi seorang anak dan bergegas ke lokasi bersama isterinya Siti Aisyah Had, 45.

"Polis tak bagi kami masuk (semalam) sebab bimbang terlalu ramai di kawasan itu selain menyukarkan operasi dilakukan.

"Kami berserah kepada Allah dan berdoa supaya mayat lelaki itu bukan anak angkat kami," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi BBP Jitra Mohd Bustan Karudin berkata, pihaknya bersama polis dan Angkatan Pertahanan Awam mengambil masa empat jam untuk mengeluarkan mangsa terperangkap.

Katanya, mereka juga menggunakan bantuan dua trak penunda untuk menarik kereta ke tebing.

"Mayat pertama dikeluarkan pada 12.45 tengah malam dan mayat kedua pada 1.20 pagi. Kereta itu ditemui selepas air sungai surut dan berkemungkinan terjatuh sejak kelmarin lagi," katanya.

Berita berkaitan

Dua maut kereta terjunam dalam sungai