--> Skip to main content

Keputusan Sri Ram tarik diri didengar kemudian

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur, hari ini menolak permohonan pasukan peguam bela Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan perbicaraan kes pinda laporan audit 1MDB dihadapinya sementara menunggu keputusan permohonan bekas Perdana Menteri bagi Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram menarik diri daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes itu.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memerintahkan perbicaraan diteruskan esok berikutan permohonan itu akan dikendalikan secara berasingan.

Beliau berkata, pihak pembelaan tidak boleh membandingkan antara permohonan untuk menggugurkan timbalan pendakwa raya utama dengan permohonan untuk menggugurkan hakim.

"Permohonan bagi hakim menarik diri perlu diputuskan terlebih dahulu tetapi saya tidak pasti sama ada hujahan sama (untuk Sri Ram menarik diri) terpakai di sini.

"Lagipun, perbicaraan sudah berlangsung selama sembilan hari, setakat ini dan adalah membazir jika saya membenarkan permohonan ini (menangguhkan perbicaraan). Dengan mengambil kira perbicaraan tidak diadakan hari ini, saya mahu meneruskan dengan perbicaraan terlebih dahulu," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 Ogos depan untuk mendengar permohonan itu.

Mohamed Zaini menangguhkan perbicaraan hari ini ke esok berikutan seorang daripada peguam tidak sihat dan menjalani ujian saringan Covid-19 sebagai langkah berjaga-jaga.

Terdahulu, peguam utama pasukan pembelaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah bahawa permohonan untuk Sri Ram menarik diri perlu didengar sebelum perbicaraan diteruskan.

"Permohonan ini adalah penting kerana pihak pembelaan mempunyai afidavit daripada bekas Peguam Negara (AG) Tan Sri Mohamed Apandi Ali. Jika dakwaan (dalam afidavit) adalah betul, isu tarik diri itu perlu diputuskan serta merta," katanya.

Menurutnya, sekiranya mahkamah memutuskan perbicaraan diteruskan, ia akan menjejaskan prinsip bahawa keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan, tetapi mesti dilihat dilaksanakan.

Dalam afidavit untuk menyokong permohonan itu, Mohamed Apandi mendakwa Sri Ram cuba meyakinkannya untuk menangkap Najib yang juga Perdana Menteri pada ketika itu berhubung skandal 1MDB.

Muhammad Shafee turut membandingkan permohonannya untuk timbalan pendakwa raya utama itu menarik diri dengan permohonan untuk seorang hakim menarik diri.

Bagaimanapun, Sri Ram dalam hujahan balas berkata, permohonan itu boleh dilakukan secara berasingan dan sepatutnya tidak menjejaskan perbicaraan yang sedang berjalan.

Najib, selaku pemohon memfailkan permohonan untuk Sri Ram menarik diri daripada mengetuai pasukan pendakwaan pada 12 Jun lalu.

Dalam permohonannya, Najib memohon diisytiharkan wujud konflik kepentingan antara pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Kanan Pendakwa Raya (DPP) di bawah Seksyen 376(3) Kanun Prosedur Jenayah dan sebagai Peguam Bela dan Peguam Cara Mahkamah Tinggi Malaya.

Beliau juga memohon diisytiharkan bahawa Sri Ram sudah bertindak dan/atau terus bertindak dalam keadaan wujud konflik kepentingan berhubung pelantikannya sebagai DPP, dan menunjukkan keadaan berat sebelah, mala fide dan inter alia, apabila dengan lebih awal menganggap dan menentukan bahawa pemohon adalah bersalah walaupun sebelum dihadapkan secara rasmi di mana-mana mahkamah atau adanya sebarang perintah atau relief yang difikirkan sesuai oleh mahkamah dalam keadaan itu.

Sementara itu, Mohamed Apandi dalam afidavitnya berkata, pada lewat tengah hari pada Januari 2018, Sri Ram datang ke rumahnya di Jalan Dutamas, Kuala Lumpur selepas Sri Ram membuat dua panggilan telefon menyatakan mahu bercakap dengannya secara peribadi.

"Beliau (Sri Ram) berkata, "Tun M (bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) hantar saya untuk berjumpa Tan Sri" dan beliau menyambung "Beliau (Tun M) mahu Tan Sri menahan Najib di pejabatnya, Tan Sri pergi esok pada 2 petang, kami mengaturkan untuk polis di Putrajaya melakukan apa yang perlu seperti diarahkan Tan Sri. Kami juga mengaturkan untuk seorang Majistret mengeluarkan perintah reman apabila beliau (Najib) dibawa ke hadapannya (untuk reman)," kata bekas peguam negara itu.

Mohamed Apandi mendakwa Sri Ram memberitahu beliau akan menjadi wira di kaca mata rakyat dan peguam negara pertama menahan perdana menteri yang sedang berkhidmat.

Menurutnya, beliau juga diberitahu mereka sudah menyediakan perancangan dan Sri Ram hanya mahu mendapatkan persetujuannnya.

Katanya, Sri Ram mempunyai misi yang jelas berat sebelah terhadap Najib dan semua kes dihadapinya.

Najib, 67, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya, manakala bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan terhadap laporan itu, untuk melindungi Najib daripada dikenakan tindakan.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.