Skip to main content

Keputusan kes saman anak Najib 6 Julai

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 6 Julai untuk memutuskan permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk penghakiman ringkas dalam kes saman terhadap anak lelaki bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Datuk Mohd Nazifuddin bagi mendapatkan RM37.6 juta cukai yang belum dibayar.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Mohd Nazifuddin memaklumkan pemberita bahawa mereka baru sahaja memfailkan hujahan tambahan semalam dan pihak berkaitan memerlukan masa untuk menjawab.

"Mahkamah kemudian menetapkan 6 Julai untuk keputusan," katanya kepada pemberita.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim akan mengumumkan keputusan itu.

Penghakiman ringkas ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Mahkamah Tinggi pada 2 Mac telah menolak permohonan Mohd Nazifuddin untuk menggantung prosiding kes itu sementara menunggu rayuan berhubung jumlah yang beliau perlu bayar kepada LHDN.

LHDN, melalui kerajaan Malaysia, memfailkan writ saman terhadap Mohd Nazifuddin pada 24 Julai tahun lalu.

Ia mendakwa bahawa Mohd Nazifuddin, 37, masih belum membayar cukai untuk taksiran tahun dari 2011 hingga 2017 seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

Menurut penyataan tuntutan, kegagalan Mohd Nazifuddin membayar cukai selama tujuh tahun yang sepatutnya dilakukan dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis taksiran seperti dinyatakan mengikut Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, menyebabkan beliau dikenakan bayaran tambahan sebanyak 10 peratus.

Plaintif mendakwa defendan masih gagal melunaskan jumlah itu dalam tempoh 60 selaras akta itu dan kenaikan kompaun sebanyak lima peratus turut dikenakan, menjadikan jumlah keseluruhan RM37,644,810.73.

Jumlah itu merangkumi RM1,780,837.70 untuk taksiran bagi tahun 2011, RM6,604,851.81 (2012), RM6,279,834.41 (2013), RM4,360,278.87 (2014), RM2,074,950.76 (2015), RM2,623,943.76 (2016) dan RM13,920,113.42 (2017).

Oleh itu, kerajaan memohon sejumlah RM37,644,810.73 dengan faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga jumlah tersebut dilunaskan, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.