Skip to main content

Keputusan kes Isa Samad diketahui esok

KEPUTUSAN sama ada bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad akan dipanggil untuk membela diri atau dilepaskan daripada tuduhan pecah amanah dan rasuah berjumlah RM3 juta, akan diketahui esok.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali dijadual menyampaikan keputusan itu pada 10 pagi, iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu yang menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berkaitan pembelian sebuah hotel, Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Mahyuddin Mohmad Som ketika dihubungi mengesahkan keputusan kes itu akan dibuat, esok.

Mohd Nazlan menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah di akhir kes pendakwaan daripada Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz dan peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili Mohd Isa, 71.

Sekiranya mahkamah memihak kepada Mohd Isa, beliau akan dibebaskan dan sekiranya keputusan sebaliknya, beliau akan diperintah membela diri iaitu beliau mempunyai tiga pilihan untuk menjawab pertuduhan yang dihadapinya.

Pilihan itu adalah memberi keterangan bersumpah dari tempat duduk saksi iaitu bekas Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu akan menjalani pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan; keterangan tidak bersumpah dari kandang tertuduh (memberi keterangan dari kandang tertuduh); dan pilihan terakhir adalah berdiam diri.

Pada 14 Januari lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas 15 hari perbicaraan dengan 22 saksi dipanggil memberi keterangan.

Pada 14 Disember 2018, Mohd Isa mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3 juta, bagi meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites oleh FICSB.

Beliau didakwa melakukan perbuatan pecah amanah di Tingkat 50, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan menerima rasuah pula didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 15 Disember 2015.

Antara saksi yang dipanggil dalam perbicaraan itu adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif FICSB Mohd Zaid Abdul Jalil, bekas pegawai khas Mohd Isa, Muhammad Zahid Md Arip; dan dua bekas Setiausaha FICSB, Cheong Choon Yin dan Nurul Uyun Abdul Jabat.

Mohd Isa diikat jamin RM800,000 dengan seorang penjamin.