Skip to main content

Kepung 12 jam

LELAKI di bawah pengaruh dadah yang bertindak agresif menetak seorang remaja dengan parang sehingga cedera parah dibahagian paha, lengan dan belakang kepala akhirnya ditangkap selepas kira-kira 12 jam dikepung.

Dalam kejadian 4.52 petang semalam, di Kampung Hilir,Kaba, Saratok, suspek berusia 35 tahun itu bertindak melarikan diri dan menyorok di bahagian bumbung rumah selepas menetak remaja terbabit.

Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintendan Polis Mordani Tanin berkata, pihak polis terpaksa memohon khidmat Bomba dan Penyelamat Saratok bagi menurunkan suspek dari atas bumbung rumah.

"Setelah dikejar penduduk kampung suspek lari ke rumahnya untuk berlindung lalu memanjat ke bahagian bumbung rumahnya melalui siling dari dalam rumah dan membawa bersama parang yang digunakan untuk menetak mangsa dan sebilah kapak.

"Pelbagai cara dilakukan bagi memujuk suspek untuk turun dari bumbung namun tidak berjaya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pada 11.30 malam suspek turun dan masuk ke dalam rumahnya melalui siling dan terus bersembunyi ke dalam biliknya di tingkat atas.

"Pihak polis mengatur strategi untuk memujuk serta menangkap mangsa dari dalam rumahnya.

"Kira-kira 3 pagi polis hadir dengan membawa perisai untuk naik ke bilik terbabit," katanya.

Beliau berkata, sejurus itu suspek terjun dari tingkat atas dan lari ke kawasan semak.

"Dengan dibantu oleh penduduk kampung suspek berjaya ditangkap dalam semak yang berada kira-kira 70 meter dari kawasan rumahnya dan ditangkap polis 4.40 pagi.

"Remaja berusia 14 tahun dari kampung yang sama ditetak suspek dihantar ke Hospital Sarikei untuk mendapat rawatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya.

Mordani berkata,kes disiasat di bawah Seksyem 326 Kanun Keseksaan.