Skip to main content

Kepala anak beruang tersangkut dalam balang plastik

Seekor anak beruang berjaya diselamatkan setelah kepala tersangkut pada balang plastik di sebuah tasik.

MILWAUKEE - Sebuah keluarga bertindak menyelamatkan seekor anak beruang setelah kepalanya tersangkut pada balang plastik semasa berenang di sebuah tasik Marshmiller di Wisconsin.

Brian Hurt bersama isterinya, Tricia dan anaknya, Brady sedang memancing ketika mereka melihat haiwan itu berenang di tasik dan memutuskan untuk menghulurkan bantuan, lapor ABC.

"Pada awalnya, kami anggap anak beruang itu kayu terapung, namun bila menghampiri, ia adalah anak beruang sedang berenang.

"Keadaan haiwan itu nampak bingung kerana penglihatan kabur disebabkan balang plastik tersangkut di kepalanya," katanya.

Tricia sempat merakam video ketika suaminya berusaha menarik balang dari kepala beruang tersebut.

Dia memberitahu, percubaan pertama gagal kerana tangan suaminya licin, tetapi pada percubaan kedua, akhirnya balang itu berjaya ditarik dan membiarkan beruang itu berenang pergi.

Anak beruang itu kelihatan gembira seolah mengucapkan terima kasih kepada penyelamatnya.

Rakaman video berdurasi 1 minit 12 saat itu tular setelah dimuat naik di media sosial.