Skip to main content

'Harap kejadian ini jadi pengajaran'

TRAGEDI bot terbalik di perairan Kuala Kemasin, Bachok yang meragut lima nyawa manakala tiga lagi masih hilang, malam tadi diharap menjadi iktibar kepada nelayan termasuk nelayan rekreasi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, nelayan rekreasi diharap lebih menitikberatkan keselamatan dengan memakai jaket keselamatan.

"Prosedur operasi standard (SOP) di laut iaitu memakai jaket keselamatan memang sudah ada, namun bergantung kepada kesedaran masing-masing untuk memakai atau sebaliknya.

"Justeru, kita berharap apa yang berlaku menjadi iktibar kepada semua," katanya ketika meninjau pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di Jeti Kemasin, hari ini.

Che Abdullah memaklumkan, beliau berpuas hati dengan penerangan daripada Agensi Penguatkusaan Maritim Malaysia (APMM) berhubung SAR dan usaha pencarian dijalankan.

"Kita berharap operasi SAR berjalan lancar dan tiga lagi mangsa hilang ditemui dalam masa terdekat.

"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap semua mereka tabah dengan ujian yang berlaku," katanya.