Skip to main content

Kedudukan Malaysia yang strategik sesuai jadi hub e-sukan

KUALA LUMPUR: Lokasi yang strategik, terletak di tengah-tengah Asia Tenggara dan kadar pertumbuhan pasaran yang tinggi membuatkan Malaysia sesuai menjadi hub bagi e-sukan.

Naib Presiden Teknologi dan Kandungan Kreatif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Hasnul Hadi Samsudin berkata, negara ini juga mempunyai ramai pemain berkualiti dalam pelbagai permainan e-sukan.

"Lokasi Malaysia strategik dalam wilayah ini, kita juga mempunyai kadar pertumbuhan pasaran yang tinggi. Bahkan pada zaman Melaka dulu, orang Portugis datang ke Malaysia untuk perdagangan rempah, ini juga hampir sama.

"Kita sangat bertuah kerana berada di tengah-tengah di Wilayah Asia Tenggara. Selain itu, kita juga ada ekosistem permainan yang memberangsangkan.

"Terima kasih kepada pemain dan syarikat yang mencipta produk dan peluang. Kita salah satu daripada ekosistem dalam wilayah ini yang saya fikir, orang di luar sana mahu sertai kita," katanya dalam sidang media maya baru-baru ini.

Tambahnya, sokongan padu daripada kerajaan juga membolehkan industri tersebut berkembang dengan lebih cepat di Malaysia.

Asia Tenggara menjadi lokasi tarikan untuk pembangunan e-sukan. Itu sebab kerajaan teruja untuk membangunkan sektor ini, teruja untuk pastikan wilayah dapat manfaat daripada sektor ini dan pastikan belia ambil bahagian dalam sektor ini," ujarnya.

Hasnul Hadi berkata demikian bagi menerangkan informasi berkaitan program Level UP PLAY-ONE yang berlangsung pada 13 dan 14 Jun lepas dan Level UP SPACEBAR yang akan diadakan pada 16 dan 17 Jun.

Untuk edisi tahun ini, semuanya dijalankan secara maya, tiada perhimpunan beramai-ramai susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan Malaysia.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Sukan Astro, CK Lee berkata, ketika aktiviti sukan di seluruh dunia mula mempraktikkan normal baharu, e-sukan sebenarnya sudah lama mempraktikkan amalan sebegitu.

"Seperti sukan tradisional, kita lihat banyak aktiviti sudah dimulakan semula sekarang tapi tanpa penyokong di lapangan. Ini mungkin normal baharu tapi dalam e-sukan, ia bukanlah normal baharu, ia memang seperti itu.

"Tapi sudah semestinya untuk program di lapangan, dalam elemen tertentu, kita putuskan untuk tunggu dan lihat. Kita tak boleh terus anjurkan program di lapangan. Apa pun, kita pantau situasi ini setiap masa," katanya.