Skip to main content

Kedai 24 jam di Sarawak boleh beroperasi seperti biasa

KUCHING: Semua premis perniagaan yang menyediakan perkhidmatan 24 jam di Sarawak  dibenarkan beroperasi mengikut waktu operasi asal, berkuat kuasa serta merta.

Ia melibatkan operasi perkhidmatan stesen minyak, kedai serbaneka, restoran rantaian makanan segera serta kedai makan 24 jam.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah berkata keputusan dibuat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) selepas mengambil kira perkembangan semasa COVID-19 di negeri ini.

"Kita dari semasa ke semasa akan mengumumkan pertambahan aktiviti ekonomi yang dibenarkan dibuka termasuk perkhidmatan 24 jam ini.

"Ini dibuat atas pemerhatian kita susulan kejayaan melandaikan keluk kes dalam tempoh beberapa hari yang lepas," kata Uggah dalam sidang media harian COVID-19 JPBNS di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun mengingatkan garis panduan dan prosedur pengendalian standard (SOP) hendaklah dipatuhi dalam pengurusan mereka.

"Saya menyeru semua untuk terus patuhi SOP kerana peperangan kita belum menang," ujarnya.

Sementara itu aktiviti ibadah bagi bukan Islam dibenarkan mulai 20 Jun ini.

Jelas Uggah SOP mengenainya telah dibincangkan dan boleh didapati daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).

Pada masa sama Jabatan Agama Islam Sarawak juga telah mengeluarkan garis panduan untuk majlis akad nikah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pematuhan (PKPP) dan telah diperakui oleh JPBNS.