Skip to main content

Kebenaran rentas negeri zon hijau boleh bantu pulihkan pelancongan Langkawi

LANGKAWI: Pengusaha pusat pelancongan di Pulau Langkawi berharap kerajaan memberi kelonggaran rentas negeri melibatkan negeri dalam zon hijau untuk merancakkan semula aktiviti pelancongan di pulau itu yang terkesan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 18 Mac lepas.

Pengurus Besar Taman Buaya Langkawi Sdn Bhd, Adam Fuaad mencadangkan kebenaran rentas negeri dibenarkan kepada penduduk di utara Semenanjung yang berada dalam zon hijau supaya dapat berkunjung ke Langkawi dan membantu memulihkan kembali sektor pelancongan di pulau legenda itu.

"Pintu masuk ke Langkawi hanya ada dua iaitu Terminal Feri Penumpang Kuah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

"Oleh itu, kawalan aktiviti rentas negeri bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) untuk mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dipatuhi boleh dilakukan dengan baik," katanya kepada Bernama.

Adam turut menzahirkan keyakinan pemain industri pelancongan di pulau berkenaan akan memastikan SOP bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 turut dilaksanakan di premis masing-masing sekiranya rentas negeri dibenarkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Dr Hezri Adnan berkata pihaknya bersedia untuk menjenamakan semula pulau ini sebagai destinasi yang selamat, bersih dan lestari.

Beliau berkata perkara tersebut adalah antara 10 strategi dirangka dalam Pelan Tindakan Pemulihan Ekonomi Langkawi (PTPEL) untuk jangka pendek, sederhana dan panjang bagi memulihkan ekonomi Pulau Langkawi yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

"LADA akan memperkenalkan 'pelancongan pintu ke pintu' yang menepati perkhidmatan perjalanan pelancongan yang disesuaikan.

"Melalui pakej ini, pelancong akan dijemput bermula dari penginapan mereka hingga ke kawasan tumpuan pelancongan yang dipilih dan melakukan pelbagai aktiviti sebelum kembali semula dengan keadaan selamat, mengambil kira keperluan penjarakan sosial dan protokol keselamatan lain," katanya.

Hezri berkata LADA bersama agensi kerajaan di Langkawi akan turut melancarkan peraturan awam yang perlu dipatuhi setiap pelancong semasa berada di pulau itu.

"Peraturan ini bertujuan menyakinkan pelancong bahawa Langkawi adalah destinasi selamat. Peraturan ini akan dikeluarkan mengikut garis panduan Majlis Keselamatan Negara dan disesuaikan dengan keadaan semasa di pulau ini," katanya.

-- BERNAMA