Skip to main content

Kebangkitan era United - Solskjaer

PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer yakin barisan kendalian mampu berada di tahap terbaik apabila saingan Liga Perdana bersambung beberapa minggu lagi.

Kelab liga utama Inggeris akan menyambung aksi yang tertangguh beberapa bulan berikutan penularan pandemik Covid-19.

United bersedia menyambung aksi musim ini dengan berkunjung ke Tottenham Hotspur pada 19 Jun iaitu perlawanan pertama mereka sejak menewaskan LASK 5-0 dalam Liga Europa pada 12 Mac lalu.

Kejayaan di Austria melebarkan rekod tanpa kalah United kepada 11 perlawanan dan Solskjaer tidak meragui ketika barisan kendaliannya harus bersedia dengan sasaran mereka memburu tempat dalam saingan Liga Juara-Juara musim depan.

"Perlawanan pertama adalah dua minggu dari hari ini jadi kami harus bekerja keras dalam latihan dan kembali dengan permainan kami semula," kata Solskjaer kepada laman sesawang United.

"Semua orang tahu bahawa kami harus berada pada tahap terbaik, perlu beri tumpuan (berdepan Tottenham).

"Kami tahu ia perlawanan besar buat semua orang. Kami berdepan Chelsea ketika memulakan kempen liga musim ini jadi saya yakin pemain kami mampu menyerap permainan Tottenham dengan mentaliti pergi ke sana untuk mempamerkan aksi terbaik bola sepak."

Susulan perlawanan Spurs, United akan berdepan saingan pasukan yang memburu tempat dalam saingan Eropah, Sheffield United pada 30 Jun - selepas saingan suku akhir Piala FA di Norwich pada 27 Jun.