Skip to main content

KBS teliti SOP renang, terjun

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan membawa cadangan dan input hasil daripada sesi libat urus bagi membolehkan acara terjun dan renang kembali menyambung latihan seperti biasa.

Menurut satu kenyataan media kementerian berkenaan, Reezal juga memberi keyakinan kepada penggiat sukan renang bahawa beliau akan membawa usul dan cadangan berkenaan untuk pertimbangan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Khamis depan.

"Prosedur Operasi Standard (SOP) sukan renang yang lebih komprenhensif akan di bawa untuk pertimbangan dalam mesyuarat berkenaan," katanya.

Antara yang dibincang dan dicadangkan adalah supaya pihak kerajaan memberi pertimbangan untuk pembukaan kolam renang secara beransur (gradual) sebagai contoh bermula dengan latihan renang tanpa sentuhan fizikal (non-contact training).

Ia juga membabitkan latihan renang (termasuk sukan terjun) untuk atlet kebangsaan, negeri dan juga untuk perenang kelab dan akademi renang.

Selain Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Datuk Hatipah Ibrahim dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail sesi libat urus itu turut dihadiri Persatuan Sukan Renang Amatur Malaysia (Asum).

Sesi libat urus hampir tiga jam itu menyaksikan semua pihak bertukar-tukar pandangan dan bersama membincangkan perincian terhadap SOP Am Individu dan SOP Am Pengurusan untuk sukan renang / kolam renang.

Reezal sebelum ini menyedari akan keresahan yang dirasai oleh mereka yang terbabit dalam industri sukan renang kerana ia masih lagi dalam senarai sukan yang dilarang untuk dijalankan seperti biasa.

Beliau sebelum ini turut membawa permohonan sukan itu untuk mendapat pelepasan sama seperti sukan yang lain pada fasa kedua pembukaan sektor sukan dan rekreasi namun diarahkan untuk melakukan penelitian tambahan.