Skip to main content

KBS kemuka SOP sukan renang, kolam renang dalam masa terdekat

Reezal Merican (dua, kanan) pada sesi libat urus di KBS.

PERINCIAN terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) Am Individu dan SOP Am Pengurusan untuk sukan renang / kolam renang bakal dikemukakan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam masa terdekat.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kolam renang ini melibatkan pelbagai jenis kolam seperti kolam saiz Olimpik dan separa Olimpik yang diiktiraf badan antarabangsa, kolam pelbagai saiz untuk tujuan rekreasi di kondominium dan hotel, kelab golf, pusat sukan dan juga di kompleks atau di rumah kedai bagi tujuan komersil.

"Antara perkara yang dibincangkan dan dicadangkan adalah supaya pihak kerajaan memberikan pertimbangan untuk pembukaan kolam renang secara beransur-ansur (gradual).

"Contohnya; bermula dengan latihan renang tanpa sentuhan fizikal (non-contact training), seperti untuk latihan renang(termasuk sukan terjun) untuk atlit kebangsaan, negeri dan juga untuk perenang kelab dan akademi renang dalam program-program tertentu yang boleh dikawal dan dipantau pematuhannya kepada SOP semasa dan yang akan ditetapkan pihak berkuasa," katanya.

Reezal Merican berkata demikian menerusi satu kenyataan media pada sesi Libat Urus Kementerian Belia dan Sukan Bersama Penggiat Industri Sukan Renang di Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Hadir sama pada sesi interaktif hampir tiga jam itu adalah pegawai-pegawai kanan dan wakil dari Kementerian dan Agensi Kerajaan seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), KKM, MKN, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Bomba, bersama wakil dari Persatuan Sukan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Persatuan-Persatuan Sukan Renang Amatur Negeri-Negeri,Persatuan Hotel, Persatuan Aquatik, Persatuan dan wakil jurulatih serta pemilik - pemilik / operator kolam renang, kelab dan akademi renang.

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyarankan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berbincang dan memperincikan lagi SOP bagi sukan renang.

Sementara itu Reezal Merican berkata, usul dan cadangan SOP sukan renang yang lebih komprehensif ini akan cuba dibawa untuk pertimbangan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan PKPP pada 18 Jun 2020 kelak.

"Sesi libat urus hari ini(semalam), telah memberi keyakinan kepada penggiat industri sukan renang agar usul dan cadangan SOP berkenaan dapat dipertimbangkan," katanya.