Skip to main content

Karmila beri kepuasan

KISAH pelarian seorang isteri yang terperangkap dengan dendam lama seorang suami yang begitu membencinya tanpa sedar.

Itulah intipati drama bersiri Memoir Karmila lakonan Atikah Suhaime, 29, yang ditayangkan menerusi slot Widuri TV1 sejak 28 Mei lalu.

Membawakan watak berat sebagai Karmila, terbit kepuasan pada Atikah apabila diberi kepercayaan melakonkan watak terbabit.

Drama arahan Bahri Umar ini membariskan ramai pelakon antaranya Aedy Ashraf, Fahad Iman, Ikmal Amry, Afifah Nasir, Zaefrul Nordin, Fazlina Ahmad Daud, Zarynn Min, Fauzi Nawawi, Nadia Aqilah dan Rafe Sumantri.

Atikah berkata, banyak pengalaman baharu yang ditimba sepanjang terbabit dengan penggambaran drama terbitan Radius One Sdn Bhd ini."

Penggambaran berlangsung tahun lalu dan syukur ia sudah menemui penonton. Banyak yang saya belajar apabila diberi peluang terbabit dalam drama ini.

"Pihak produksi menghubungi pengurusan saya dan saya terpilih tanpa melalui proses uji bakat. Bukan kali pertama saya membawakan watak berat tapi setiap watak ada kelainannya.Penggambaran dibuat di Kelantan, Terengganu dan Thailand. Pastinya ia sesuatu yang mengujakan, katanya.

Atikah berkata, jalan cerita Memoir Karmila sememangnya lain daripada yang lain.

"Kedua-dua watak utama dalam cerita ini bukanlah sebaik yang difikirkan. Karmila tinggalkan tunangnya, Naim (Ikmal Amry) kerana nakkan lelaki kaya iaitu Isham (Aedy Ashraf) yang sebenarnya terbabit dalam perniagaan pemerdagangan wanita.

"Tanpa diketahui, dalam diam Isham berdendam dengan Karmila kerana dulu Karmila tinggalkannya ketika dia tidak berduit. Selalunya watak hero dan heroin baik tapi kali ini, kedua-duanya ambil kesempatan.

"Memandangkan jadual penggambaran yang padat terutama kena merentas negeri, saya kena sentiasa bersedia dalam watak, katanya.

ATIKAH masih menunggu kelulusan kerajaan Malaysia untuk kembali menghabiskan penggambaran Dendam Cinta Arissa. ATIKAH masih menunggu kelulusan kerajaan Malaysia untuk kembali menghabiskan penggambaran Dendam Cinta Arissa.

Peminat yang mengikuti Memoir Karmila di kaca TV sudah tentu tidak sabar menonton kesudahan ceritanya.

Karmila nyaris dijual suami sendiri, Isham kepada sindiket pelacuran di Thailand pada malam bulan madu mereka.

Bagaimanapun dia dapat melepaskan diri sehelai sepinggang tanpa sebarang dokumen. Dengan 1,000 kepayahan, dia berjaya sampai di Malaysia. Namun, pada masa yang sama, Karmila terus diburu oleh Isham yang tidak berpuas hati.

Sepanjang pelariannya, Karmila bertemu dengan pelbagai manusia dan kisah-kisah wanita yang diangkat dari cerita wanita di dalam Al-Quran. Dari situ dia mula bermuhasabah akan kesilapannya sendiri selama ini.

Skrip Memoir Karmila ditulis empat nama hebat iaitu Maizura Ederis, Nasir Sulaiman, Nana Khalil dan Baizura Kahar.

Atikah berkata, dia banyak menerima komen positif daripada penonton yang mengakui menyukai gandingannya dengan Aedy.

"Mereka kata ceritanya lain daripada yang lain serta berkualiti. Syukurlah, saya baca skrip dan banyak minta tolong pengarah berikan ulasan bagaimana pembawakan watak Karmila daripada pandangannya. Bukan apa, kadang-kadang pemahaman watak antara pelakon dan pengarah bercanggah. Jadi kami banyak berbincang untuk saya hidupkan Karmila.

"Saya suka tengok lakonan Chloe Moretz untuk cerita-cerita suspen kerana reaksi wajahnya untuk filem suspen semua menjadi, katanya.

Atikah yang kini berada di Singapura berkata, dia masih menunggu kelulusan kerajaan Malaysia untuk kembali menghabiskan penggambaran Dendam Cinta Arissa yang dihentikan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

"Drama itu juga terbitan Radius One. Rasanya saya selesa berlakon bawah produksi mereka kerana semua skripnya bagus serta bukan dari adaptasi novel yang susah untuk saya hayati kerana jalan ceritanya kurang realistik.

"Cara mereka bekerja juga sangat professional. Padahal saya baru bekerja dalam dua drama dengan mereka tapi rasa sangat selesa, katanya.

Mengulas mengenai hubungan dengan kekasihnya, Datuk Lokman Teh, 31, yang sudah hampir setahun dikenali, Atikah mengakui belum mempunyai perancangan lanjut dan lebih selesa berkawan.

"Buat masa sekarang tiada perancangan, mungkin lepas selesai Covid-19 ini? Tengoklah macam mana.Kami saling mengenali, tapi untuk berkahwin tak pasti lagi. Saya tak mungkin nak nikah 'online'. Insya Allah tengoklah macam mana. Doakan yang terbaik, katanya.