Skip to main content

Kapal mewah Nadal RM24.3 juta dilengkapi stor jet ski

KEHIDUPAN cukup indah buat pemain tenis nombor dua dunia, Rafael Nadal apabila dia berpeluang memandu sendiri kapal layar peribadi miliknya.

Tahun lalu, pemegang rekod 12 kali juara Terbuka Perancis membelanjakan £4.5 juta (RM24.3 juta) kepada kapal layar yang reka khas, 80 Sunreef Power catamaran untuk menggantikan kapal layar buatan Itali MCY 76 yang diberi nama Beethoven dan dijual sekitar £2 juta (RM10.8 juta).

Kapal layar mewah canggihnya mengandungi pelbagai kemudahan asas dan menarik termasuk air pancut di ruang spa, stor jet ski serta bar mini di atas kapal.

Kapal layar 80 Sunreef Power digerakkan dengan dua enjin 1,200 kuasa kuda.

Nadal yang dilahirkan di Pulau Balearic, Sepanyol, seperti tidak dapat dipisahkan dengan lautan.

"Sebagai seseorang dari pulau sejak dilahirkan, laut adalah sebahagian daripada hidup saya dan bukan lagi rahsia saya menyukai lautan," kata Nadal.

"Setiap kali saya di rumah dekat Mallorca saya akan cuba keluar dan mencuri masa di mana saya hanya akan menghabiskan masa di atas kapal."