Skip to main content

Kantoi cuba seludup keluar susu

CUBAAN lelaki menyeludup keluar produk susu ke Indonesia digagalkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor di Jeti Kastam,Jalan Shahbandar, Batu Pahat, semalam.

Pengarah MAQIS Johor, Nur Afifah A Rahman berkata, dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, pemeriksaan yang dijalankan oleh dua orang pegawai penguat kuasa MAQIS terhadap kotak milik lelaki berusia 54 tahun yang dipegangnya itu menemukan pelbagai produk susu berkenaan.

Katanya,ia membabitkan jenis Karihome Goat Whole Milk Powder seberat 6.8 kg, Karihome Pre-School Formula 4 seberat 5.4 kg, Karihome Growing-Up Formula 3 seberat 29.7 kg dan Enfagrow A+ Langkah 3 seberat 3.6 kg dengan berat keseluruhan yang dianggarkan seberat 45.5 kg.

"Kesemua produk susu berkenaan dianggarkan bernilai RM5,790.96 dipercayai cuba dibawa keluar untuk pasaran Pulau Batam, Indonesia.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan, konsainan berkenaan didapati tidak mempunyai sebarang permit eksport yang dikeluarkan oleh MAQIS.

"Kesemua konsainan berkenaan ditahan dan akan disiasat di bawah Seksyen 11(2), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana mengeksport keluaran pertanian tanpa permit sah yang dikeluarkan oleh MAQIS," katanya dalam kenyataan,hari ini.

Nur Afifah berkata, mengikut akta berkenaan jika sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3), Akta sama iaitu denda tidak melebihi RM100,000.00 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

"MAQIS amat komited dalam menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan bagi aktiviti import dan eksport keluaran pertanian di pintu masuk negara bagi memastikan keluaran pertanian yang masuk dan keluar dari negara mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.

"Kepada orang awam, khususnya warga asing yang tinggal di Malaysia yang ingin membawa keluar barangan yang di bawah kawalan MAQIS hendaklah merujuk kepada pihak MAQIS terlebih dahulu walaupun barangan yang di bawa adalah dalam kuantiti yang sedikit bagi mengelakkan tindakan undang -undang dikenakan kepada mereka," katanya.