Skip to main content

Kami pun mahu berlatih juga - Hup Wei

TIDAK mudah untuk kembali ke prestasi terbaik selepas dipaksa berehat lebih daripada tiga bulan.

Justeru atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei berharap atlet olahraga yang masih mempunyai peluang ke temasya Olimpik Tokyo tahun depan diberi peluang untuk menjalani latihan seperti mereka yang di bawah program Road To Tokyo (RTT).

Kata Olimpian negara yang pernah beraksi di Olimpik Beijing dan London itu, dia memerlukan masa sekurang-kurangnya lima ke enam bulan untuk kembali ke tahap terbaik ketika tiada sebarang pertandingan dimaklumkan ketika ini.

Biarpun pungutan mata untuk kelayakan Olimpik hanya akan bermula Disember ini, namun masa yang ada perlu digunakan sebaik mungkin dengan latihan yang komprehensif.

"Sekarang ini perasaan untuk pertandingan itu kosong sebab memang tiada sebarang pertandingan ketika ini. Itu sebabnya jika boleh kami semua ingin kembali berlatih dengan lebih tersusun.

"Jika berlatih di rumah tidak sama kerana banyak benda yang kurang. Malah hingga sekarang saya masih belum mengadakan latihan lompatan sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang lalu.

"Itu sebab saya harap sangat MSN (Majlis Sukan Negara) memberi pertimbangan untuk atlet olahraga yang mempunyai peluang ke Olimpik untuk berlatih bersama mereka yang berada di bawah program RTT," katanya.

Terdahulu Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengemukakan surat permohonan kepada MSN untuk mempertimbangkan enam atlet olahraga agar diberi kelonggaran menggunakan kemudahan di MSN.

Mereka terdiri daripada Hup Wei bersama Nuaraj Singh (lompat tinggi), Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera), pemegang rekod kebangsaan lompat jauh, Andre Anura Anuar, pemegang rekod kebangsaan lompat kijang, Muhammad Hakimi Ismail, dan pelari pecut kebangsaan, Muhammad Haiqal Hanafi.

Namun hingga kini tiada sebarang makluman diterima oleh atlet olahraga negara yang masih menjalani latihan di rumah masing-masing.