Skip to main content

Kaki pancing kembali ke Sungai Sembrong

SUNGAI Sembrong yang dilaporkan tercemar akibat limpahan minyak kotor oleh kilang kelapa sawit, 1 Jun lalu semakin pulih selepas hujan lebat di hulu sungai kira-kira seminggu selepas kejadian.

Berikutan itu, nelayan darat yang terdiri daripada penduduk Kampung Orang Asli di Pekan Kahang dan kaki pancing mula kembali menangkap ikan dan memancing udang galah di sungai berkenaan sejak beberapa hari lalu.

Penduduk Kampung Orang Asli Sedohok, Jailani Rahim, 36, berkata, sudah tiga hari mereka memasang jaring serta tajur di sungai ini dan pendapatan setiap kali turun agak lumayan walaupun masih berkurangan berbanding sebelum ini.

Katanya, tindakan pantas Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor menutup aliran minyak kotor itu dan mengambil tindakan tegas ke atas kilang berkenaan amat tepat kerana ianya berjaya menghalang lebih banyak pencemaran berlaku keatas sungai berkenaan.

"Diharapkan selepas ini kejadian seumpama ini tidak berulang lagi kerana ianya bukan sahaja menjejaskan sumber pendapatan kami sebagai nelayan darat namun turut memusnahkan hidupan di dalam sungai ini dan secara tidak langsung akan merosakkan ekosistemnya.

"Justeru itu, pihak berkuasa perlu memastikan semua jenis perusahaan di bahagian hulu sungai ini sentiasa mematuhi peraturan-peraturan ditetapkan," katanya.

Sementara itu, pemancing udang galah, Atan Ibrahim,56, berkata, dia dan rakannya, Yahya Sahrom, 57, turut melepaskan peluang pergi memancing di Sungai Sembrong.

Katanya, berita sungai ini semakin pulih sudah tersebar di kalangan kaki pancing sejak hujung minggu baru-baru ini dan ianya membolehkan ramai peminat memancing udang galah mencuba nasib.

"Alhamdulilah, pendapatan agak lumayan dan ianya menandakan ikan dan udang galah baharu sudah kembali ke kawasan tercemar di sungai ini," katanya.