Skip to main content

Jualan rumah turun 19 peratus

JUMLAH jualan rumah di negara ini menyaksikan penurunan sehingga 19 peratus sejak krisis pandemik Covid-19 muncul pada awal tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, jumlah itu berdasarkan laporan diterima beliau susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.

"Dari segi pembangunan buat masa ini, ia masih terkawal malah lebih baik berbanding suku sebelumnya namun dari segi jualan, kita dapat saksikan penurunan sehingga 19 peratus.

"Ini juga tentunya dipengaruhi oleh faktor pemaju tidak dapat melakukan pameran, promosi dan seumpamanya untuk menguar-uarkan projek perumahan yang dibangunkan mereka," katanya pada sidang media, hari ini.

Jelas beliau, perkembangan industri perumahan kini bagaimanapun kelihatan semakin baik khususnya menerusi beberapa insentif yang diumumkan kerajaan dalam merancakkan semula pasaran hartanah.

"Dengan insentif pengecualian duti setem akan diberikan ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman khususnya bagi pembelian kediaman bernilai RM500,000 dan ke bawah, saya fikir ia akan dimanfaatkan rakyat.

"Lagi pula saya percaya apabila rakyat diberi peluang selama tiga bulan untuk duduk di rumah sepanjang tempoh PKP, pastinya kita semakin menyedari pentingnya rumah yang selesa.

"Mungkin juga ada yang ingin mempunyai ruang kediaman yang lebih baik pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya impak industri perumahan susulan PKP serta perkembangan terbaru menjelang pasca krisis Covid-19 di negara ini.

Terdahulu, Zuraida menyampaikan sijil penghargaan kepada Muhammad Harraz Nazhan Mohd Yusni iaitu pelajar Sekolah Menengah Sains Alam Shah yang mengharumkan nama negara menerusi Anugerah Emas dan Anugerah Khas yang dibawa pulang dari Russia, tahun lalu.

Penyerahan dibuat dalam satu majlis ringkas oleh Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) yang turut memberikan wang tunai RM500 serta jam tangan kepada pelajar tingkatan empat itu.