Skip to main content

Jangan biarkan atlet Sukma longlai

PANDEMIK Covid-19 ternyata memberi kesan bukan saja kepada atlet elit malah skuad pelapis dalam semua jenis sukan terutamanya yang sedang melakukan persiapan untuk Sukan Malaysia (Sukma) 2020 tahun depan.

Menurut Ketua Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) Dr Hasnul Faizal Hushin Amri, tahap kecergasan dan ketangkasan atlet akan merosot kerana tiada latihan beterusan dijalankan secara konsisten.

"Untuk kembali ke tahap asal mereka perlu memulakan semula latihan intensif agar kesan latihan dapat dipertingkatkan dalam tempoh empat hingga enam minggu dan disusuli program latihan spesifik," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Ujar Hasnul Faizal, sidang latihan menggunakan video yang digunakan ramai jurulatih ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah satu solusi buat masa ini.

"Ianya satu pendekatan norma baru yang agak janggal penggunaanya kerana kebiasaan latihan kemahiran dan kecergasan dibuat secara terus di lapangan. Atlet dan jurulatih perlu saling bekerjasama dalam memastikan matlamat utama latihan dapat dicapai.

"Cuma latihan sebegini agar sukar untuk memastikan tahap sebenar kecergasan mereka kerana apa yang dipapar hanya dalam tempoh singkat sahaja.

"Ujian sebenar di lapangan sangat diperlukan bagi mendapat data tahap sebenar kecergasan atlet menggunakan protokol ujian yang spesifik. Ruang terhad melakukan rutin latihan juga memberi tekanan kepada atlet di mana sukan sukan tertentu memerlukan ruang untuk melakukan rutin," katanya.

Tambah Hasnul Faizal, akibat ketiadaan ruang dan tempat yang sesuai, ada atlet langsung tidak dapat melakukan sebarang latihan dan ini pastinya menyebabkan kemahiran sedia ada tidak dapat diulang rutinnya secara berterusan.

"Pelan periodisasi latihan yang dilaksanakan setahun sebelum Sukma juga perlu dirombak dan disusun semula. Perubahan tarikh penganjuran Sukma juga sudah berubah dari jadual asalnya Julai 2020 ke Mac 2021.

"Pentadbir dan jurulatih kini perlu merancang semula program latihan mereka agar kesemua elemen penting dalam pelan periodisasi latihan dapat dipenuhi. Perancangan perlu dibuat secara teliti agar atlet benar benar berada dipuncak prestasi ketika kejohanan bermula nanti. Peluang masih terbuka kepada semua negeri untuk merangka semula pelan periodisasi latihan," katanya.