Skip to main content

Jangan bebankan guru dengan tugas keselamatan

KESATUAN Kebangsaan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM) mahu guru kelas peperiksaan awam tidak dibebani tugas menguruskan keselamatan sebaik sekolah dibuka semula pada 24 Jun ini.

Ini kerana guru perlu fokus kepada pembelajaran dan pengajaran (PdP) dan mengejar masa bagi menghabiskan sukatan pelajaran berikutan penutupan sekolah akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden KKGLMSM, Sahibul Bahrin Ahmad berkata, guru dijangka berhadapan kekangan masa kerana baki menghabiskan sukatan pelajaran amat terhad menjelang peperiksaan awam yang bakal diadakan dalam suku pertama tahun hadapan.

"Pada masa sama, penulisan Rancangan Pelajaran Harian (RPH) ketika PKP dan pasca PKP adalah berbeza, jadi guru perlu diberi ruang menggunakan masa berbaki yang terhad itu untuk membantu pelajar sepenuhnya.

"Justeru, pentadbir sekolah perlu membebaskan guru kelas peperiksaan daripada pelbagai kajian, kerja luar dan tugas menguruskan keselamatan sebaik sekolah dibuka semula," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sahibul Bahrin berkata, KKGLMSM juga mahukan semua sekolah di negara ini melaksanakan persekolahan satu sesi saja bermula 7.30 pagi dan berakhir sepenuhnya 1.30 tengah hari.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin mengatakan sesi persekolahan untuk pelajar Tingkatan 5 dan 6 yang mengambil peperiksaan awam akan bermula 24 Jun ini.