Skip to main content

Jalani kuarantin di rumah? Anda perlu kurungkan diri dalam bilik - Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia pulang dari dari luar negara yang menjalani kuarantin wajib di rumah sebenarnya perlu berkurung di dalam bilik dan mengelakkan kontak rapat dengan ahli keluarga.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata protokol dan garis panduan berkenaan dibekalkan kepada semua mereka yang tiba di negara ini.

Katanya, langkah itu bagi mengawal penularan COVID-19 memandangkan tempoh inkubasi COVID-19 adalah selama 14 hari.

"Ia adalah sebahagian daripada prosedur yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi proses kuarantin di rumah.

"Tetapi kuarantin di rumah bermaksud anda pulang (ke rumah) dan mengurung diri anda di dalam bilik, tidak melakukan pergerakan (bebas) atau berhubung rapat dengan ahli keluarga.

"Jadi, kita mempunyai senarai protokol yang diberikan kepada mereka untuk dipatuhi. Mereka perlu pastikan kekal di rumah walaupun ujian saringan telah dijalankan (sebelum pulang) dan didapati negatif.

"Ini kerana tempoh inkubasi adalah 14 hari. Jadi mereka perlu kuarantin 14 hari (bagi memastikan diri bebas COVID-19)," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Jumaat.

Beliau menasihatkan semua pihak mengambil serius arahan itu dan mematuhinya demi keselamatan diri sendiri, ahli keluarga dan masyarakat.