--> Skip to main content

Jaguh lontar peluru kini tauke nanas

TEMPOH pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan wabak pandemik Covid-19 dimanfaatkan bekas atlet lontar peluru negara, Adi Aliffudin Hussin, 32, menguruskan tanaman nanas seluas 1.2 hektar di Marang.

Pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 17.53 meter yang dilakukan ketika Sukan Sea di Indonesia pada 2011 berkata, dia tidak kekok mengusahakan tanaman itu walaupun tidak mempunyai ilmu dalam dunia pertanian.

Adi yang mula mengusahakan tanaman nanas jenis MD2 sejak 2018 iaitu selepas setahun bersara akui tanaman itu mampu mendatangkan hasil lumayan jika tidak rosak diserang serangga dan tidak menghadapi masalah daripada segi pemasaran.

Bagaimanapun, dia yang kini berkhidmat di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akui kesukaran memasarkan hasil jualan itu pada kali ini kerana terpaksa melakukan perniagaan secara pesanan dan menghantar sendiri kerana permintaan daripada peraih kurang mendapat sambutan kerana tempoh PKPB ini.

"Ini kali kedua nanas yang saya usahakan sebanyak 51,000 pokok dapat dipasarkan, kebetulan pula ketika tempoh PKPB, sudah tentu pengalaman memasarkan hasil tanaman pada kali ini begitu berbeza kerana mematuhi tempoh PKPB.

"Sebelum ini peraih yang datang ke kebun untuk mengambil tanaman itu, tapi kali ini jualannya sedikit berbeza kerana saya serta isteri, Siti Zahuri Afida Che Soh dan adakala adik perlu turun padang melakukan penghantaran yang ditempah pelanggan sekitar Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

"Jika saya tidak lakukan cara pemasaran sebegini, mungkin akan berlaku lambakan dan seterusnya boleh merugikan kerana hasil tuaian mencecah kira-kira 600 kilogram seminggu.

"Namun ada juga peraih yang datang sendiri ke kebun, tapi jumlahnya tidak seperti biasa, mungkin permintaan daripada peminat buah ini kurang ketika tempoh PKPB ini, tapi saya tetap bersyukur kerana dapat juga merasai pengalaman memasarkan sendiri," ujar Adi ketika ditemui di kebun miliknya semalam.

Mengulas mengenai perancangannya selepas ini, atlet kelahiran kampung Binjai Rendah Marang itu yang berharap rekodnya dapat dipecahkan dalam kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) tahun depan, akui sedang mengintai peluang untuk melatih pasukan Sukma Terengganu selepas mendapat lesen jurulatih.

"Jika ada peluang saya mahu berbakti dengan pasukan negeri kelahiran dahulu kerana pernah menaikkan nama saya sehingga mampu mewarnai pentas Sukan SEA, tapi jika dapat tawaran daripada negeri lain saya tidak menolak kemungkinan akan melatih pasukan berkenaan jika mendapat pelepasan daripada majikan.

"Selepas itu jika ada peluang saya juga berhasrat untuk berbakti kepada negara suatu hari nanti bagi melahirkan lebih ramai atlet yang berwibawa," ujar Adi.

Berdasarkan rekod, Adi mengutip tiga pingat perak berturut-turut dalam pentas Sukan Sea 2009 di Laos, 2011 di Palembang, Indonesia dan Myanmar 2013 dan pingat gangsa pada Sukan Sea 2015 di Singapura.