Skip to main content

Institusi tahfiz rayu kerajaan beri kelonggaran beroperasi

SEKRETARIAT Khas Pendemik Covid-19 Institut Tahfiz Negara menyerahkan memorandum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagi membenarkan semua Institusi/Maahad Tahfiz beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Memorandum disampaikan Presiden Persatuan Madrasah Tahfiz Al Quran Malaysia, Manolito Mohd Dahlan kepada Zulkifli di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Putrajaya hari ini.

Sebanyak tujuh gabungan persatuan turut hadir bagi menyampaikan memorandum berkenaan mewakili 1,500 maahad tahfiz swasta di seluruh negara.

Manolito berkata, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kebanyakan institusi berkenaan terkesan terutamanya berhadapan dengan sumber kewangan bagi menjelaskan bil utiliti, sewa dan gaji tenaga pengajar.

Katanya, kebanyakan institusi itu bergantung kepada yuran dan sumbangan orang ramai bagi meneruskan kelangsungan hidup kakitangan.

"Situasi ini juga mengakibatkan penutupan beberapa institusi kerana tidak dapat bertahan disebabkan ketiadaan sumber kewangan," katanya kepada media selepas menyampaikan memorandum itu.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Maahad Tahfiz Pahang, Datuk Zulkifli Ali; Pengerusi Tahfiz Selangor (PITAS), Mohd Hafiz Hanifah dan Pengerusi Persatuan Mahaad Tahfiz Perak (PEMATAP), Mohd Azlan Suhaimi.

Manolio berkata, ketika ini terdapat 7,500 pelajar tahfiz mewakili 1,500 pusat tahfiz swasta dari seluruh negara.

Katanya, melalui memorandum itu pihaknya berharap kerajaan meluluskan pembukaan institusi berkenaan sama dengan penetapan dibuat Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin yang menetapkan tarikh pembukaan semula sesi persekolahan bagi kelas peperiksaan awam pada 24 Jun ini.

Menurutnya, pihaknya turut menyediakan SOP khusus bagi institusi berkenaan untuk diteliti kerana sehingga kini kerajaan belum menyediakan SOP bagi pusat tahfiz untuk kembali beroperasi.

Dia yang juga Pengerusi Maahad Tahfiz Tarbiah Al Ummah, berkata pihaknya mengadakan operasi nyah kuman di beberapa pusat tahfiz termasuk mencadangkan dan menyediakan SOP khas dengan mengadakan penambahan Akta Keselamatan & Pekerjaan.