Skip to main content

Indonesia sukar kawal rakyat perangi COVID-19

JAKARTA: Indonesia berdepan cabaran getir memastikan penduduknya mematuhi amalan kehidupan kebiasaan baharu bagi mengekang penularan COVID-19 kerana ramai mengingkari perintah larangan dan enggan menjalani ujian saringan.

Semalam, lebih seratus ahli keluarga dan penduduk bandar Ambon, Maluku, menyekat ambulans dikawal dua pegawai polis, yang membawa jenazah seorang bekas Ahli Parlimen berusia 58 tahun untuk disemadikan di kubur khas pesakit COVID-19.

Mereka mengasari pegawai penguatkuasa dan membawa keluar jenazah sebelum meninggalkan keranda di atas jalan serta membawa jenazah pulang .

Dalam satu lagi kes di Surabaya, Jawa Timur awal bulan ini, saudara seorang wanita yang meninggal akibat COVID-19 datang membuat huru hara di hospital sebelum mengambil jenazah sekali dengan tilam hospital lalu dibawa pulang ke rumah.

Pihak kesihatan kemudian pergi ke rumah mangsa untuk menuntut semula mayat bagi dikebumikan mengikut prosedur COVID-19, namun mereka diminta beredar.

Akibatnya, empat anak lelaki dan menantu wanita itu disahkan positif COVID-19 dan dituduh sebagai penjenayah oleh polis serta berkemungkinan dihukum penjara sekurang-kurangnya lima tahun.

Ketua Petugas Khas COVID-19 kebangsaan, Doni Monardo, berkata semakin banyak keluarga bertindak merampas atau membawa keluar mayat pesakit COVID-19 tanpa kebenaran pihak hospital.

"Tindakan tidak mematuhi protokol perubatan ini adalah salah satu penyebab utama peningkatan jumlah jangkitan, khususnya di Jawa Timur," katanya.

Semalam, buat pertama kali Jawa Timur mengatasi jumlah jangkitan di Jakarta kali selepas wilayah dengan 40 juta penduduk itu merekodkan 10,901 kes jangkitan berbanding 10,796 kes di ibu negara.

Di Pekanbaru, Riau, peniaga pasar basah termasuk di pusat Sukaramai, menutup kedai dan pulang apabila kakitangan kesihatan berpakaian perlindungan mahu melakukan saringan COVID-19.

Perkara sama berlaku di pasar di bandar lain termasuk di Jakarta, di mana kebanyakan peniaga bimbang mereka akan dihalang bekerja sekiranya didapati positif bagi virus itu.

Semalam, portal berita Riauonline melaporkan wilayah Riau akan melakukan ujian saringan secara besar-besaran di pasar tradisional selepas pihak berkuasa tempatan mengesan gelombang kedua jangkitan sudah berlaku.

Jurucakap Pasukan Bertindak COVID-19 Pekanbaru, Mulyadi, dipetik berkata, berdasarkan peningkatan kes minggu lalu, kesan gelombang kedua dijangka lebih teruk lagi.

Tindakan wilayah dan bandar di serata Indonesia mula melonggarkan perintah kawalan dikhuatiri memburukkan lagi pandemik di republik itu.

Setakat hari ini, COVID-19 menjangkiti 54,010 mangsa termasuk mengorbankan 2,754 orang di Indonesia iaitu kadar tertinggi di Asia Tenggara. - AGENSI