Skip to main content

Indonesia lapor satu lagi kes harimau Sumatera diracun

BANDA ACEH: Seekor lagi harimau Sumatera ditemui mati disyaki diracun, dalam kes kedua membabitkan haiwan terancam itu, kata pegawai perlindungan hari ini.

Menurut pihak berkuasa, penduduk tempatan dipercayai menjadikan harimau berkenaan sebagai sasaran kerana menyerang haiwan ternakan mereka, sekali gus meningkatkan konflik antara manusia dan haiwan liar di gugusan Asia Tenggara.

Agensi perlindungan di Selatan Aceh semalam menemui bangkai seekor harimau betina berdekatan sebuah ladang.

"Tiada sebarang jerat atau kecederaan fizikal ditemui pada harimau terbabit, dan kami mengesyaki ia diracun," kata ketua agensi, Hadi Sofyan sambil menambah, bedah siasat akan dilakukan ke atas haiwan itu.

Minggu lalu, bangkai seekor harimau jantan ditemui tertanam di taman negara Batang Gadis, Sumatera Utara, juga dipercayai diracun.

Penduduk tempatan, termasuk ketua kampung berkata, pembunuhan itu dirancang oleh petani yang berang apabila haiwan ternakan mereka menjadi mangsa.

Agensi berkenaan turut memindahkan seekor harimau betina dari sebuah ladang di Sumatera Barat semalam.

Konflik antara manusia dan haiwan liar di Indonesia sering berlaku di kawasan yang berdepan penebangan hutan, bagi membangunkan ladang kelapa sawit.

Sumatera sejak beberapa tahun lalu turut menyaksikan kes serangan maut harimau ke atas manusia. - AFP