Skip to main content

India haramkan 59 aplikasi telefon bimbit China

NEW DELHI: India semalam mengharamkan 59 aplikasi telefon bimbit China termasuk TikTok dan WeChat atas alasan risaukan keselamatan negara dan privasi, selepas pertempuran berdarah tentera kedua-kedua negara di sempadan.

Kementerian Teknologi Maklumat, dalam satu kenyataan, berkata aplikasi berkenaan terbabit dalam kegiatan yang menggugat kedaulatan, integriti, pertahanan, keselamatan dan ketenteraman awam India.

"Kerajaan India memutuskan untuk tidak membenarkan penggunaan aplikasi tertentu, yang bertujuan khusus memastikan keselamatan dan kedaulatan ruang siber India.

"Tindakan ini diambil selepas pihak kementerian menerima beberapa aduan mendakwa pencurian data dan pencabulan privasi pengguna," katanya.

Hubungan antara dua negara berpenduduk paling ramai di dunia itu semakin renggang berikutan kematian 20 anggota tentera India dalam pertempuran fizikal dengan tentera China di sempadan Himalaya pada 15 Jun lalu.

Telefon bimbit China menguasai hampir 65 peratus pasaran telefon pintar di India manakala aplikasi perkongsian video seperti TikTok dan Helo popular dalam kalangan golongan muda negara itu.

Dianggarkan terdapat kira-kira 120 juta pengguna TikTok di India, menjadikan negara Asia Selatan dengan 1.3 penduduk itu pasaran antarabangsa terbesar.

Aplikasi popular lain yang turut diharamkan termasuk aplikasi mikroblogging Weibo dan permainan Clash of Kings. - AFP