Skip to main content

IDEAS gesa pertimbangan jangka panjang pelaksanaan penjana

KUALA LUMPUR: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menyifatkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat adalah tepat pada masanya bagi menangani unjuran tahap pengangguran dan kelembapan ekonomi negara yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Pengarah Penyelidikan IDEAS, Lau Zheng Zhou berkata secara keseluruhan, inisiatif-inisiatif utama yang dibentangkan dalam PENJANA adalah seimbang untuk melindungi kumpulan sasaran berbeza dan bidang-bidang perniagaan.

"Tumpuan kepada pelaburan digital untuk disesuaikan kepada pelanggan dan perniagaan turut berteraskan kemajuan masa depan.

"Walaupun PENJANA diakui sebagai perancangan pemulihan jangka pendek yang akan tamat pada akhir tahun ini, beberapa inisiatif dilihat banyak menumpukan kepada aspek perlindungan yang diperluaskan daripada pakej rangsangan yang terdahulu," katanya kepada Bernama.

Justeru, Lau berkata, IDEAS menggesa kerajaan memberi pertimbangan sepenuhnya untuk jangka panjang bagi membawa ekonomi keluar daripada krisis ini dengan lebih berkesan.

Beliau berkata perluasan Program Subsidi Upah dengan penambahan RM5 bilion lagi menggambarkan keutamaan kerajaan yang berterusan untuk menggalakkan pengekalan pekerjaan dan mengurangkan pemberhentian.

"Bagaimanapun, kadar pengambilan yang rendah telah mencetuskan kebimbangan mengenai kecekapan proses kelulusan dan pembayaran," jelasnya.

Menurut Kementerian Kewangan, setakat 31 Mei, hanya RM3.22 bilion telah diluluskan daripada RM13.8 bilion yang sebelum ini diperuntukkan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

IDEAS melahirkan kebimbangan mengenai pengangguran dan berharap wujudnya penambahbaikan dalam proses birokrasi supaya penerima sasaran mempunyai akses lebih baik terhadap subsidi upah.

Lau turut menyambut baik peruntukan untuk mendorong penyesuaian digital dalam ekonomi dan IDEAS berharap pendekatan yang lebih komprehensif ke arah mengoptimumkan faktor-faktor pemungkin bagi meningkatkan pelaksanaan digital, selain meningkatkan penggunaan dan perbelanjaan digital dalam jangka pendek.

"Isu-isu struktur seperti pelaburan infrastruktur, peraturan yang efektif dan kewujudan monopoli perlu ditangani bersekali dengan perbelanjaan pemulihan semasa," kata beliau.

"Ini penting untuk meletakkan asas pertumbuhan dan pembangunan masa depan yang lebih baik," tambahnya.

-- BERNAMA