Skip to main content

Ibu Pejabat Parti Gerakan Negeri Sembilan dibaling bom petrol?

IBU Pejabat Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) Negeri Sembilan di Wisma Gerakan, Jalan Tun Dr Ismail, Seremban dibaling bom petrol oleh individu tidak dikenali awal pagi ini.

Pengerusi Parti Gerakan Negeri Sembilan, Datuk David Choong Vee Hing berkata, kejadian itu menyebabkan berlaku kebakaran kecil di stor bawah tangga premis berkenaan.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku pada jam 3.22 pagi berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di bangunan itu.

"Saya tak pasti adakah ia perbuatan khianat kerana pejabat baru kembali beroperasi Rabu lalu selepas ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa 18 Mac lalu.

"Individu bertanggungjawab dipercayai membaling botol api melalui jeriji besi pintu utama ke stor di bawah tangga yang menempatkan bendera parti," katanya kepada pemberita di Wisma Gerakan, hari ini.

Katanya, terdapat kesan terbakar dan botol pecah di kawasan berkenaan namun kesan kebakaran itu tidak besar kerana bendera parti yang diletakkan di bawah tangga berkenaan tidak terbakar.

David Choong berkata, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

"Bagaimanapun, operasi pejabat parti beroperasi seperti biasa kerana khidmat kepada masyarakat perlu diteruskan," katanya.