Skip to main content

Holyfield tak sabar bertumbuk

EVANDER Holyfield mempamerkan latihan gigih yang diharungi sebagai persediaan untuk kembali dalam pertarungan sensasi.

Petinju berusia 57 tahun itu mengumumkan dia akan menyarung kembali sarung tangan tinju dalam perlawanan pertunjukan menerusi sukan yang menjadikannya popular.

Dia dikaitkan berdepan pertarungan trilogi menentang musuh lama, Mike Tyson, 53, yang turut mengumumkan penampilan semulanya.

Holyfield mencatat kemenangan 2-0 berdepan Iron Mike, dengan salah satu kemenangan popular pada 1997 selepas Tyson menggigit telinganya.

Dan selepas Tyson menayangkan transformasi bentuk badannya dalam video latihan pertarungan dan senaman, Holyfield turut menunjukkan dia tidak kurang hebatnya.

Latihan keras membabitkan tumbukan, senaman serta larian diadakan di tepi pantai sambil dipantau jurulatih peribadi turut dimuat naik di Instagram miliknya.

Holyfield mengakui dia mampu menewaskan Tyson lagi jika dijadualkan mereka bertemu semula di gelanggang pertarungan.

"Saya suka ke depan, semua orang fikir saya akan lari daripada Mike, saya mahu dia tahu saya tidak ke mana-mana, itu adalah perkara paling penting.

"Saya rasakan saya mempunyai tangan yang lebih cepat berbanding Mike, saya fikir saya perlu mencapainya. Saya dapat menumbuknya beberapa kali, apabila anda mula menumbuk orang mereka akan mula berubah.