Skip to main content

Hina Jata Negara: PDRM serbu syarikat penerbitan

KUALA LUMPUR: Polis menyerbu pejabat sebuah syarikat penerbitan yang dikaitkan dengan penghinaan terhadap logo Jata Negara di Seksyen 11, Petaling Jaya, pada Selasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata serbuan dijalankan pada jam 3 petang oleh sepasukan anggota Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman.

Setakat ini polis sudah menerima 32 laporan berhubung isu itu daripada pelbagai pihak di seluruh negara.

"Kita membuka sebanyak empat kertas siasatan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 2016, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 8(1) Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Baki 313 naskhah buku yang masih tersimpan dan belum terjual kita rampas dalam serbuan itu.

"Kini pihak polis sedang membuat penelitian terhadap buku terbabit. Penulis serta pereka gambar pada kulit buku berkenaan juga akan disiasat dan sudah pun dikenal pasti," katanya pada sidang media di Bukit Aman, pada Selasa.

Terdahulu, buku yang dirampas itu mempamerkan sebuah logo mirip Jata Negara mendapat perhatian sejak beberapa hari lalu kerana penggunaan gambar yang dikatakan menghina Jata Negara selepas perkara itu tersebar di media sosial.

Berikutan itu, pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik membuat laporan polis dan menggesa tindakan tegas dikenakan terhadap pihak yang terbabit.