Skip to main content

Hercules TUDM bawa pulang 81 rakyat Malaysia di Filipina

TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan Misi Repatriasi Rakyat Malaysia yang terkandas di selatan Filipina disebabkan kuarantin dan perintah berkurung oleh negara itu bagi menangani penularan Covid-19.

Penerbangan menggunakan pesawat pengangkut C130H dari Pangkalan Udara Subang itu hasil kerjasama Kementerian Luar dan Duta Besar Malaysia ke Filipina.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui TUDM kemudiannya mengatur gerak pesawat bagi membawa pulang 81 rakyat Malaysia yang terkandas.

TUDM pada kenyataan memaklumkan, usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang kesemuanya adalah warga Sabah dilaksanakan atas faktor keselamatan mereka serta situasi semasa di Filipina.

"TUDM sentiasa bersiap siaga dalam melaksanakan misi ini. Ia dijalankan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) digariskan Markas Pemerintahan Operasi Udara.

"Misi Repatriasi Rakyat Malaysia yang terkandas di selatan Filipina membabitkan warga TUDM Pangkalan Udara Subang, khususnya Cabang Pergerakan Udara, anak kapal No20 Skuadron serta pegawai dan petugas perubatan Institut Perubatan Penerbangan (IPP)," katanya.

Menurutnya, mereka dipertanggungjawabkan bagi menentukan keperluan saringan kesihatan serta perubatan khas misi itu.

Turut sama dalam misi itu adalah doktor dan kakitangan perubatan dari Hospital Queen Elizabeth, Sabah.

Pasukan ini dilengkapi Peralatan Perlindungan Diri (PPE) bagi memastikan mereka tidak terdedah kepada sebarang jangkitan virus.

"Hercules C130 TUDM berlepas dari Pangkalan Udara Labuan jam 10 pagi dan selamat mendarat sejam kemudian di Lapangan Terbang Antarabangsa Zamboanga.

"Pesawat kemudiannya berlepas pulang ke Kota Kinabalu jam 3.25 petang," katanya.

Pesawat berkenaan turut disanitasi.