Skip to main content

Hanya pesakit warga asing kritikal dibenarkan ke Malaysia

KUALA LUMPUR - Kerajaan membenarkan kemasukan warganegara asing ke Malaysia bagi tujuan perubatan melibatkan pesakit kritikal yang memerlukan rawatan intensif di Unit Rawatan Rapi (ICU) atau Unit Dependensi Tinggi (HDU).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu tertakluk dalam fasa pertama melibatkan Fasa 1A dan 1B yang terpakai dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan sekatan perjalanan antarabangsa yang sedang berkuat kuasa.

"Seperti diumumkan sebelum ini, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP telah bersetuju membenarkan kemasukan warganegara asing ke Malaysia bagi tujuan pelancongan kesihatan.

"Kebenaran bagi Fasa 1A ini hanya bagi perjalanan ke Malaysia melalui laluan udara sahaja dengan seorang penjaga dibenarkan untuk dibawa bersama," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Ismail Sabri berkata, bagi pesakit di bawah umur 12 tahun, mereka dibenarkan untuk membawa dua penjaga serta perlu berada dalam bilik yang sama dengan pesakit sepanjang tempoh rawatan.

"Bagi Fasa 1B pula, kebenaran tersebut melibatkan pelancong yang mempunyai masalah kesihatan yang serius seperti penyakit barah (onkologi), jantung (kardiologi) dan penyakit-penyakit lain.

Warganegara asing yang terlibat juga perlu mendapatkan surat janji temu terlebih dahulu daripada hospital yang berdaftar dengan Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC)," katanya.

Beliau berkata semua warganegara asing yang ingin ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan, selain daripada membuat janji temu, mereka perlu menjalani ujian saringan Covid-19 tiga hari sebelum memasuki pintu sempadan negara.

Katanya, pelancong asing berkenaan juga perlu melengkapkan syarat pra-kemasukan termasuk bayaran kos perubatan serta memuat turun aplikasi MySejahtera dan setibanya mereka di lapangan terbang, pengangkutan ke hospital perlu diurus oleh pihak hospital dan MHTC. - Bernama