Skip to main content

Hanya 31,301 pekerja warga asing jalani ujian Covid-19

HANYA 31,301 pekerja asing menjalani ujian saringan Covid-19 dengan 40.8 peratus daripadanya membabitkan sektor pembinaan.

Sehubungan itu, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang menggesa semua kontraktor di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor untuk tampil menghantar pekerja warga asing mendapatkan ujian saringan Covid-19 melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

CIDB dalam kenyataan berkata, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), ujian Covid-19 diwajibkan untuk semua pekerja warga asing di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

"Bagaimanapun, pekerja asing yang memohon menjalani Ujian Covid-19 atau menunggu keputusan ujian adalah dibenarkan bekerja sementara menunggu giliran diuji atau keputusan ujian diperolehi dengan syarat mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Pada 27 April lalu, Perkeso melancarkan Program Saringan Prihatin (PSP) Perkeso yang menawarkan ujian Covid-19 secara percuma kepada pencarum.

"Buat masa ini, PSP Perkeso adalah untuk pekerja warga asing di sektor pembinaan dan perkhidmatan kawalan keselamatan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor," katanya. Menurutnya, pembekal perkhidmatan PSP Perkeso berupaya menjalankan sehingga 15,000 ujian sehari dan keputusan ujian boleh diperoleh dalam tempoh tiga hari.

"Berdasarkan data Perkeso sehingga kini, hanya 31,301 pekerja warga asing membabitkan semua sektor yang menjalani ujian Covid-19 melalui PSP Perkeso dan daripada jumlah ini, 40.8 peratus adalah dari sektor pembinaan.

"Saringan Covid-19 di bawah PSP Perkeso boleh dijalankan di mana-mana penyedia perkhidmatan sama ada klinik atau hospital yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Majikan di dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan kawalan keselamatan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor boleh membuat tuntutan subsidi daripada Perkeso sebanyak RM150 bagi setiap saringan Covid-19 untuk pekerja mereka yang mencarum di mana-mana klinik atau hospital yang menawarkan perkhidmatan saringan berkenaan," katanya.