Skip to main content

Hafizh sumbang motosikal kepada Adam

Paparan Instagram Hafizh menarik perhatian peminatnya.

BINTANG sukan permotoran negara, Hafizh Syahrin Abdullah menghadiahkan sebuah motosikal Modenas Kriss MJ110 kepada pemuda Orang Kurang Upaya (OKU), di Gopeng, Perak.

Kisah Adam Johari Azhar, 24, yang mengalami masalah lembam sebelum ini tular di Facebook kerana kesungguhannya melaungkan azan hampir setiap waktu solat sepanjang Ramadan lalu.

Difahamkan, Adam mengayuh basikal sejauh lebih dua kilometer (km) dari rumahnya di Taman Kinta di Gopeng semata-mata untuk melaungkan azan di Surau Kampung Tersusun Kopisan.

Hafizh yang berusia 26 tahun berkongsi berita itu di Instagram rasminya, @hafizh_syahrin.

"Alhamdullilah... selamat sampai di Gopeng dan selamat sudah penyerahan yang tidak seberapa ini kepada saudara kita Adam untuk ulang alik ke surau.

"Adam yang tidak sempurna macam kita tapi selalu pergi ke surau sejauh 3km untuk azan lima waktu, kita yang sempurna ini pun belum tentu lagi berbuat sedemikian.

"Terima kasih ayah dan #teamHS55 serta pengikut YAKAAA yang banyak membantu. Semoga saudara Adam sihat bersama keluarga dan dapat imarahkan lagi Surau Kampung Tersusun Kopisan. Mencari keredhaan ALLAH and Saham Akhirat. Insya-ALLAH," tulisnya.

Perkongsian Hafizh itu menarik perhatian peminatnya dan mendoakan beliau dimurahkan rezeki.

@putera_official, berkata, "Kita permudahkan urusan orang lain, ALLAH akan mudahkan urusan kita. Moga dimurahkan rezeki kepada penyumbang yang murah hati. Allahu, sebak."

@udin_manaf pula mendoakan Hafizh terus cemerlang dalam kerjayanya.