Skip to main content

Guru kembali ke Sarawak perlu patuhi SOP JPBN

GURU dari Semenanjung, Sabah dan Labuan yang akan kembali bertugas di Sarawak masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

Jurucakap Sekretariat JPBN berkata, walaupun Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini mengumumkan rakyat tempatan dari Semenanjung dan Sabah yang ingin ke Sarawak tidak perlu memohon kebenaran daripada JPBN, namun bagi guru, mereka masih perlu mengikuti SOP Sarawak.

Beliau berkata, bagi guru yang kembali bertugas di Sarawak, mereka ada SOP lain iaitu harus mematuhi garis panduan yang ditetapkan JPBN Sarawak.

"Bagi guru yang bertugas di bandar, mereka dikehendaki menjalani kuarantin kendiri di kediaman masing-masing selama 14 hari serta dikehendaki memakai gelang tangan khas atau "wristband" sepanjang tempoh kuarantin.

"Mereka akan dipanggil untuk membuat saringan Covid-19 pada hari ke-10. Bagi guru yang bertugas di kawasan pedalaman Sarawak pula, mereka perlu menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan oleh JPBN dan saringan Covid-19 akan dibuat pada hari ke-10," katanya.

Sementara itu, jumlah kes positif Covid-19 di Sarawak kekal 556 kes apabila tiada kes jangkitan baharu dilaporkan hari ini.

Dua pesakit yang menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) pula disahkan sembuh hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang sudah sembuh dan discaj seramai 533 orang.