Skip to main content

GP Singapura, Jepun, Azerbaijan batal

GRAND Prix (GP) Formula Satu di Singapura, Jepun dan Azerbaijan sah dibatalkan hari ini kerana isu logistik berikutan penularan Covid-19 menurut pegawai perlumbaan itu.

"Bagi kesan yang masih dialami berikutan pandemik Covid-19, kami dan promoter kami di Azerbaijan, Singapura dan Jepun mengambil keputusan untuk membatalkan perlumbaan bagi musim 2020," menurut kenyataan Formula Satu.

"Singapura dan Azerbaijan, memerlukan tempoh masa panjang untuk pembinaan litar lumba dari jalan raya negara penganjur yang tampak sukar dipenuhi bagi tempoh tertentu.

"Di Jepun pula sekatan perjalanan yang masih dilaksanakan membawa kepada keputusan untuk tidak meneruskan perlumbaan itu."

Tahun ini perlumbaan di Australia, Monaco, Perancis dan Belanda sudahpun dibatalkan.

Ketika perintah berkurung semakin dikurangkan di beberapa negara, musim ini yang dijadualkan akan bermula dengan dua perlumbaan tertutup di Austria pada Julai, diikuti enam lagi perlumbaan grand prix di Eropah.