Skip to main content

Geran ekonomi gig galakkan caruman Perkeso, KWSP - Penganalisis

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan memperkenalkan geran padanan sehingga RM50 juta bagi platform ekonomi gig akan menggalakkan pekerja menyumbang dari segi caruman untuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata insentif menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, juga memberi jaminan perlindungan jaringan keselamatan sosial pekerja ekonomi gig tersebut.

"Kami khususnya tertarik dengan langkah-langkah membabitkan digitalisasi dan ekonomi gig tersebut. Selain itu, turut diperkenalkan adalah e-dompet RM50 serta e-baucar dan kod promosi yang menggalakkan rakyat Malaysia untuk berbelanja dalam talian," katanya kepada Bernama.

Selain itu, Mohd Afzanizam berkata geran padanan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi tujuan transformasi digital menerusi latihan dan subsidi, juga dapat menggalakkan mereka untuk memanfaatkan platform digital tersebut.

"Bagi ekonomi utama pula, langkah memperkenalkan semula Kempen Pemilikan Rumah dan pengecualian cukai jualan untuk kereta pemasangan tempatan penuh akan dapat memacu sektor hartanah dan automotif," katanya.

Sementara itu Pakar Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Izuan Ahmad menyifatkan pelbagai inisiatif di bawah PENJANA itu membuktikan keazaman kerajaan untuk menyokong dan membantu sektor PKS yang merupakan antara penyumbang utama ekonomi serta pertumbuhan pekerjaan di negara ini.

"Pelbagai langkah PENJANA itu dengan jelas memaparkan aspirasi serta sasaran kerajaan untuk meningkatkan pembabitan PKS bagi melaksanakan pendigitalan sebagai kaedah memajukan perniagaan mereka.

"Selain itu, terdapat pakej pembiayaan berjumlah kira-kira RM5.6 bilion untuk pemain PKS tempatan bagi menyokong operasi perniagaan selain memastikan kapasiti kewangan dan kemampuan mereka mengharungi persekitaran perniagaan yang mencabar," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga telah berusaha dalam memastikan pelan pemulihan negara itu dapat digerakkan dengan menyokong usaha sektor PKS selain digitalisasi kebanyakan operasi kerajaan dan perniagaan bagi mempertingkat pertumbuhan ekonomi untuk suku ketiga sehingga pulih sepenuhnya menjelang tahun depan.

Menurutnya, ini bagaimana pun bergantung kepada kejayaan negara membendung penularan virus COVID-19 berkenaan.

"Usaha sokongan terhadap pekerja ekonomi gig itu turut diperuntukkan PENJANA bagi menyemai serta mengekalkan kelangsungan sektor tidak rasmi yang turut menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi. Malah ini akan turut menggalakkan lagi budaya perniagaan secara dalam talian," katanya.

Dalam pada itu, Afzanizam juga menyifatkan PENJANA telah menangani kebimbangan dalam pasaran kerja, peralihan kepada kebiasaan baharu membabitkan digitalisasi serta sektor utama ekonomi seperti hartanah dan automotif.

"Ini menunjukkan bahawa kerajaan komited untuk memacu pertumbuhan dan pada masa sama sanggup berdepan peningkatan defisit. Sekiranya pembukaan semula ekonomi berjalan dengan baik, ini dijangka menyaksikan pertumbuhan lebih positif pada separuh kedua tahun ini," katanya.

Di bawah pelan PENJANA itu, perdana menteri telah mengumumkan 40 inisiatif bernilai RM35 bilion dengan sebahagian besar daripada peruntukan itu disasarkan bagi jaminan pekerjaan mereka dalam ekonomi gig, meningkatkan kemahiran serta memudahkan aliran tunai untuk perniagaan.

Ini menerusi memperkenalkan geran padanan sehingga RM50 juta untuk platform ekonomi gig yang membuat caruman pekerja mereka kepada Skim Bencana Pekerjaan PERKESO berjumlah sehingga RM162 dan skim i-Saraan KWSP sehingga RM250 setahun.

Selain itu, peruntukan khas RM25 juta disalurkan kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi program Global Online Workforce (GLOW) yang membabitkan khidmat untuk pelanggan antarabangsa secara bekerja dalam talian dari rumah.

Dalam usaha menggalakkan perusahaan mikro dan PKS menggunakan perkhidmatan digital, kerajaan berserta sektor swasta akan membiayai geran padanan sebanyak RM140 juta.

Peruntukan tersebut akan digunakan bagi tujuan sesi latihan, subsidi untuk penjual dan bantuan jualan yang mana inisiatif terbabit akan dipacu oleh MDEC berserta platform e-dagang terpilih.

Sejajar sasaran untuk meningkatkan pelaksanaan e-dagang oleh perusahaan mikro dan PKS bagi memperluas jangkauan pasaran masing-masing, kerajaan menerusi kempen e-dagang mikro dan PKS akan memperuntukkan sejumlah RM70 juta bagi usahawan terbabit yang layak.

Ini bagi membolehkan usahawan mikro dan PKS berkenaan melaksanakan digitalisasi perniagaan menerusi program yang dibiayai bersama oleh MDEC dan platform e-dagang.

Kerajaan juga akan bekerjasama dengan platform e-dagang bagi membiayai bersama diskaun baucar digital untuk menggalakkan perbelanjaan produk-produk peruncit tempatan.

-- BERNAMA