Skip to main content

Gementar masjid dibuka kepada umum

PENGURUSAN Masjid Negeri Arau, Perlis mengakui gementar ketika mengendalikan proses pelaksanaan solat Jumaat yang kali pertama dibuka kepada umum di daerah itu hari ini.

Imam 2 Masjid Arau Mohd Idham Sultan berkata, ini berikutan jumlah yang hadir ke kaunter pemeriksaan suhu bagi menunaikan solat Jumaat dilihat melebihi kapasiti jemaah masjid berkenaan yang dibuka kepada 150 jemaah sahaja.

Menurutnya, pada awalnya berlaku kekeliruan dalam kalangan jemaah yang hadir kerana keutamaan diberikan kepada ahli kariah masjid terlebih dahulu.

"Masjid Negeri Arau terletak di tengah bandar, jadi ada sebahagian orang awam yang berhenti singgah untuk menunaikan solat Jumaat.

"Jadi kita terpaksa bertegas dengan mendahulukan ahli kariah terlebih dahulu untuk memenuhkan kapasiti masjid dan jika ada ruang lebihan barulah dibuka kepada umum.

"Namun keadaan terkawal selepas pihak pengurusan masjid dibantu petugas barisan hadapan dan boleh dikatakan hari ini masjid berjaya mencapai lebih 80 peratus nilaian pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pada kali pertama ia dibuka kepada awam," katanya ketika ditemui selepas solat Jumaat hari ini.

Mohd Idham berkata, pada pelaksanaan solat Jumaat hari ini, dua ruang solat digunakan bagi memuatkan 150 jemaah yang hadir.

"Ini membabitkan ruangan utama dan ruangan atas dan ruangan berwuduk ditutup bagi SOP yang ditetapkan.

"Bagaimanapun tiada warga asing yang hadir bagi menunaikan solat pada hari ini di Masjid Negeri meskipun Perlis memberikan kebenaran bersyarat kepada mereka," katanya.

Beliau berkata, proses mengendalikan pelaksanaan solat Jumaat pada minggu pertama ini adalah sebagai ujian kepada pihaknya dalam memastikan masyarakat tetap patuh pada peraturan yang ditetapkan.

Perlis membenarkan bilangan jemaah bagi melakukan ibadat di masjid pada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), terutamanya solat Jumaat dan solat berjemaah lima waktu, ditambah mengikut keluasan maksimum kapasiti masjid bermula Jumaat ini.