Skip to main content

Gembira, syukur dapat tunaikan Solat Jumaat - Jemaah Masjid Kuala Telemong

HULU TERENGGANU: Selepas hampir tiga bulan tidak menunaikan Solat Jumaat, umat Islam di sekitar Terengganu begitu teruja untuk ke masjid selepas kerajaan membenarkan solat berkenaan dijalankan secara berjemaah di masjid.

Di Masjid Kuala Telemong, keterujaan mereka terserlah apabila ramai sudah mula hadir ke masjid seawal jam 12 tengah hari.

Bagi memastikan semuanya berjalan lancar, Ketua Balai Polis Kuala Telemong, Sarjan Mejar Ahmad Ridhuwan Ishak berkata, seramai tiga anggota ditempatkan di masjid berkenaan bagi mengawal jemaah yang hadir.

Setiap jemaah perlu melepasi SOP ditetapkan sebelum masuk ke masjid.

"Bagi masjid ini kita tempatkan tiga anggota untuk memastikan SOP yang ditetapkan diikuti sepenuhnya. Beberapa anggota lain juga ditempatkan di masjid-masjid lain sekitar kawasan ini sekurang-kurangnya satu anggota.

"Kita berpuas hati dengan kepatuhan yang ditunjukkan oleh pihak masjid dan semua jemaah yang hadir," katanya ketika ditemui di perkarangan masjid Kuala Telemong.

Masjid yang mampu memuatkan 140 jemaah itu melakukan persiapan rapi dengan menjalankan pemeriksaan suhu badan, menyediakan cecair pembasmi kuman selain mewajibkan jemaah mencatat nama dan nombor telefon.