Skip to main content

Gadis ramah jadi pendiam

"DUA tiga hari sebelum kemalangan itu, dia kelihatan diam dan tak banyak bercakap walaupun pada asalnya adalah seorang yang periang dan peramah," kata Jamilah Mohd Ramli, 51, ibu kepada Nur Sabrina Mat Rowi.

Nur Sabrina, 20, meninggal dunia pada Jumaat lalu selepas lima hari bertarung nyawa di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping susulan motosikal ditunggangnya melanggar lembu melintas jalan di Batu 14, Jalan Ulu Sepetang-Redang Panjang dekat Taiping pada 7 Jun lalu.

Jamilah berkata, pemergian anak keempat dari lima beradik itu sangat dirasainya memandangkan sumber rezeki mereka sekeluarga bergantung kepada pendapatan Nur Sabrina sebagai operator sebuah kilang di Kamunting.

Dia menyifatkan Nur Sabrina sebagai anak yang baik dan mesra dengan semua orang.

Menurutnya, dia tidak menyangka perubahan sikap anaknya yang tidak banyak cakap berbanding kebiasaannya sebagai petanda akan pergi buat selama-lamanya.

"Kami agak ralat kerana kes kemalangan yang berpunca daripada lembu liar melintas di kawasan ini seakan-akan tidak pernah selesai.

"Saya reda atas kehilangannya ini walaupun sukar untuk menyatakan sama ada saya dapat memaafkan pemilik lembu terbabit atau sebaliknya," katanya yang ditemui selepas menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di rumahnya hari ini.

Faedah itu disampaikan Pengurus Perekso Cawangan Taiping Tunku Shahrin Tunku Salehan.

Sementara itu, Tunku Shahrin berkata, Jamilah dan suaminya, Mat Rowi Ismail, 60, selain adik Nur Sabrina berusia 15 tahun turut layak memperoleh Faedah Orang Tanggungan di bawah Skim Bencana Pekerjaan Perkeso kepunyaan arwah membabitkan nilai RM1,200 sebulan.

"Ibu dan bapa Nur Sabrina akan memperoleh pencen RM1,200 sebulan sepanjang hayat mereka, yang mana nilai berkenaan juga merangkumi jumlah yang akan dibayar kepada adik arwah berusia 15 tahun masih bersekolah hingga mencecah usia 21 tahun," katanya.