Skip to main content

Fadali ceria kunjungan bekas rakan sepasukan

KUNJUNGAN rakan sepasukannya ketika bergelar pemain Terengganu era 90-an ternyata menceriakan Fadali Jalil, 53 walaupun dia kini terlantar tidak dapat bergerak kerana mengalami masalah saraf akibat penyakit kencing manis.

Bekas pertahanan kental skuad Penyu itu menerima kunjungan Persatuan Bolasepak Daerah Kuala Terengganu (PBDKT) yang diketuai presidennya, Mohamed Sekanther Abdul Hamed dan juga bekas rakan-sepasukannya termasuk Badrulhisham Abdullah, Zakaria Abdullah dan Saharan Abdullah.

Lawatan hampir sejam di rumah pemain yang lebih mesra dipanggil 'Wek' di Kampung Bukit Besar, dekat sini kelmarin begitu memilukan apabila masing-masing bercerita mengenangkan kembali kegemilangan dan kisah suka duka ketika sama-sama bergelar pemain sebelum Fadali bersara pada tahun 1997.

Menurut Sekanther, bakat Fadali yang dicungkil daripada kejohanan PBDKT satu masa dahulu adalah seorang pemain yang begitu komited dan berdisiplin ketika beraksi sehingga ditakuti lawan.

Katanya, menjadi tanggungjawab PBDKT dan bekas pemain menghargai jasa dan pengorbanan bekas pemain Terengganu itu yang menderita akibat di serang penyakit berkenaan.

"Kunjungan kami seramai 15 orang berserta sumbangan daripada rakan-rakan memberi keceriaan kepada saudara Fadali yang saya lihat semakin beransur pulih walaupun pergerakannya masih terbatas.

"Beliau pun begitu teruja dan gembira menerima kehadiran kami, kita doakan pemain itu yang pernah menyarung jersi skuad Penyu cekal dan kuat semangat melawan penyakit yang dihadapinya dan bagi pihak kami akan membantu mengikut keupayaan," jelas Sekanther.

Fadali mula diserang masalah saraf ketika beliau bersama isterinya, Norhayati Alias sedang menonton televisyen di ruang tamu pada Januari lalu.

Selepas lebih sebulan mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, beliau dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk menjalani pembedahan tulang belakang pada Februari lalu dan kini beransur baik, namun masih memerlukan bantuan untuk bergerak.