Skip to main content

EMGS sokong garis panduan MQA

SHAH ALAM - Education Malaysia Global Services (EMGS) menyokong garis panduan dikeluarkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bahawa semua sijil dan keputusan ramalan peperiksaan pelajar boleh diterima oleh institusi pengajian tinggi (IPT) untuk tujuan pendaftaran pelajar antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Radzlan Jalaludin berkata, kesemua ketetapan di bawah Panduan Pengendalian Program Pendidikan Tinggi Semasa dan Pasca-Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu disokong penuh pihaknya.

"Berdasarkan garis panduan itu, IPT dibenarkan menerima semua sijil dan keputusan ramalan peperiksaan pelajar yang dikeluarkan pihak berkuasa negeri atau badan perakuan," katanya dalam satu kenyataan semalam.

MQA mengeluarkan garis panduan itu pada 29 Mei lalu berikutan penularan wabak koronavirus (Covid-19) di seluruh dunia yang memberi kesan termasuk melibatkan bidang pengajian tinggi.

Beliau berkata, penyebaran wabak Covid-19 menyebabkan berlaku pembatalan dan penangguhan peperiksaan antarabangsa seperti Cambridge IGCSE dan International Baccalaureate.

Menurutnya, pelbagai peperiksaan peringkat kebangsaan seperti Ujian Nasional Indonesia juga ditangguh secara berkala sehingga 2021.

Mohd Radzlan berkata, penguasaan bahasa Inggeris merupakan salah satu syarat yang wajib untuk kemasukan ke institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia.

"Berikutan pembatalan Ujian Kemahiran Bahasa Inggeris Antarabangsa, semua IPT digalakkan menerima pendaftaran pelajar yang mempunyai sijil yang berkaitan.

"Ia seperti Ujian Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Asing-Ujian Berasaskan Internet (TOEFL iBT) dan Sistem Pengujian Bahasa Inggeris Antarabangsa (IELTS) kerana ujian penilaian kini dapat dilakukan secara maya," ujarnya.

Katanya, dalam usaha membantu pelajar antarabangsa memulakan pengajian di negara mereka, EMGS telah memulakan proses aplikasi dalam talian serta inisiatif pengeluaran Surat Kelulusan EMGS untuk urusan pembelajaran dalam talian sejak Mei lalu.

Tegas beliau, pihaknya akan memastikan usaha yang dilakukan adalah yang terbaik buat pelajar antarabangsa, pendidik dan industri.