Skip to main content

Dua maut, dua parah kereta bertembung

Keadaan dua buah kenderaan yang terbabit dalam nahas jalan raya di sini petang tadi.

MARANG – Dua maut manakala dua lagi mangsa cedera parah dalam nahas dua kenderaan di Kilometer 31 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Penjara Marang, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa, Wan Mohammad Zawawi Wan Mohammad,40, dan Mohd Shahril Abdul Hamid,36, yang menaiki Perodua Myvi maut di lokasi kejadian selepas kenderaan dinaiki bertembung Proton Saga yang dinaiki seorang warga emas dan kanak-kanak.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai, Hanafi Din berkata, tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan mengenai tragedi itu.

Keadaan Perodua Myvi dan Proton Saga yang remuk teruk selepas terlibat dalam nahas berkenaan.

Katanya, pihaknya mengambil masa kira-kira 10 minit bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta Proton Saga.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, kami dapati dua buah kenderaan terlibat kemalangan dengan terdapat seorang mangsa tersepit pada bahagian hadapan kereta Proton Saga.

"Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan menggunakan alat pemotong hidrolik dan ram bagi merenggangkan kereta," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Abd Razak Hasan ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.