Skip to main content

Dua lagi disambar akademi Malaga

SAINGAN LaLiga bakal menyaksikan himpunan kelompok pemain muda negara apabila lebih ramai 'ubi muda' Malaysia beraksi di Sepanyol.

Malah, jangan terkejut sekiranya pemain Malaysia selepas ini menjadi buruan kelab hebat di LaLiga seperti Barcelona, Real Madrid, Valencia, Getafe, Real Betis, Mallorca dan banyak lagi.

Ia selepas kejayaan dua lagi pemain muda negara iaitu M Devekumaran dan Mubashshir Azizi mengikat kontrak selama dua tahun bersama akademi bola sepak FC Malaga City.

Kejayaan dua pemain muda itu melengkapkan kehadiran dua lagi tonggak iaitu Aniq Asri dan Allee Putra Azril yang turut dipancing akademi berkenaan.

Peluang untuk empat anak muda negara itu mengetuk pintu kelab-kelab ternama di Sepanyol bukanlah sesuatu yang mustahil kerana akademi terbabit sering mengadakan aksi persahabatan dan menyertai liga bersaing bersama Barcelona dan Real Madrid.

Malah, FC Malaga City juga turut diiktiraf sebagai akademi yang profesional oleh Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dalam melahirkan baka-bakat muda.

Difahamkan akademi ini memiliki dua buah skuad dalam kategori pembangunan iaitu bawah 19 (B-18) dan B-21 dan ia menyaksikan Aniq, Allee serta Mubashshir diletakkan dalam skuad B-19 manakala Devekumaran di B-21.

Seperkara menarik mengenai akademi ini, yuran pengajian dan penginapan ditanggung oleh pihak pengurusan dengan anggaran 15,750 euro (RM75,489) selama semusim.